Disaring dari web Islam-QA.
Bahasa Inggeris: http://islam-qa.com/en/ref/124861
Bahasa Arab: http://islam-qa.com/ar/ref/89878
Soalan
Rasulullah SAW berkata; “Sesiapa sahaja yang berpegang teguh dengan Sunnahku sewaktu ummahku dalam keadaan yang terseleweng, akan mendapat ganjaran seratus orang syahid.”
Adakah hadith ini sahih? Dan jikalau ianya sahih. apakah yang sepatutnya dilakukan untuk membolehkan dirinya tergolong sebagai orang yang teguh dengan Sunnah? Saya tinggal di sebuah negara Arab yang mana situasinya agak jelas. Adakah mencegah diri daripada perkara yang haram sudah mencukupi?
Jawapan
Segala puji bagi Allah.
Pertama:
Sunnah baginda Rasulullah SAW adalah seperti sebuah kapal penyelamat dan pelabuhan yang tenteram. Rasulullah telah memerintahkan kita untuk berpegang teguh dengannya serta untuk tidak meninggalkannya. Baginda besabda; “Hendaklah kamu berpegang dengan Sunnahku dan tidak meninggalkannya, gigitlah ia dengan gigi geraham, dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan kerana ia adalah bid’ah sedangkan setiap bid’ah adalah sesat.” Diriwayatkan oleh Abu Dawud (4607) dan disahihkan oleh al-Albani dalam sahih Sunan Abu Dawud.
Apabila kejahatan serta penyelewengan semakin meluas dan bida’ah serta fitnah berleluasa, ganjaran bagi mereka yang berpegang teguh dengan sunnah akan menjadi lebih besar, dan status mereka yang mengikuti Sunnah adalah lebih tinggi, kerana mereka hidup bagaikan seorang yang asing pada waktu ini dengan petunjuk yang dibawa di dalam kegelapan, dan juga kerana kesungguhan mereka untuk mengubah urusan manusia.
Rasulullah SAW berkata; “Islam bermula sebagai asing dan akan kembali menjadi asing. Beruntunglah mereka yang asing.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka yang melakukan kebaikan di kala manusia melakukan kejahatan.” Diriwayatkan oleh Abu ‘Amr al-Daani dalam al-Sunan al-Waaridah fi’l-Fitan (1/25) daripada hadith Ibn Masud; disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah (1273); Hadith ini juga diriwayatkan dalam Sahih Muslim (145).
Dan Rasulullah juga bersabda:
“Akan datang suatu masa, yang mana kesabaran adalah seperti memegang bara api yang panas. Mereka yang melakukan kebaikan akan memperoleh ganjaran sebagaimana 50 orang yang melakukan perkara yang sama. - Dan yang lain menambah - Mereka berkata: Wahai Rasul Allah, ganjaran 50 orang daripada mereka? Baginda menjawab: “(Ya!) Ganjaran 50 orang)”
Diriwayatkan oleh Abu Daud (4341); al-Tirmidzi (3085) dan dia berkata: hadith Hasan. Disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah (494). Dam riwayat lain menyebut: “Mereka yang menghidupkan Sunnahu dan mengajarkannya kepada para manusia.”
Berpegang teguh dengan sunnah boleh membawa kepada beberapa maksud:
1- Melakukan perkra yang wajib dan meninggalkan yang haram.
2- Mengelakkan perkara bida’ah dalam perbuatan dan kepercayaan.
3- Berusaha untuk melaksanakan Sunnah dan perkara-perkara yang ‘mustahab’ sebanyak mungkin.
4- Mengajak orang melakukan kebaikan dan cuba untuk memperbaiki mereka sebanyak yang boleh.
Dalam satu ucapan oleh Syeikh Ibn Jibrin berkenaan maksud sebenar komitmen dalam beragama. beliau berkata (ms. 10):
Tidak syak lagi, bahawa Sunnah Rasulullah SAW telah dicatat, begitu hampir dengan kita, dan mudah untuk diperoleh bagi mereka yang mencarinya. Apa yang perlu dilakukan adalah, mencari. Jika kita mempelajari akan Sunnah, kita perlu beramal dengannya agar ia menjadi benar sebagaimana yang kita katakan dan supaya kita menjadi orang yang komited dalam beragama. Pekakkan telinga anda kepada mereka yang meperkecilkan kita, memperlekehkan usaha kita, dan mengeji kita.
Sunnah-Sunnah ada yang wajib, dan ada pula yang mustahab, atau mungkin ianya datang dalam bentuk akhlak yang baik atau mulia. Orang Islam sepatutnya melaksanakan semua Sunnah yang dia mampu untuk memperoleh ganjaran.
Orang yang komited dalam agama adalah mereka, yang apabila mendengar sebuah hadith, mereka berusaha untuk melaksanakannya, dan begitu bersungguh-sungguh dalam melakukannya, tidak kira perkara itu mustahab, mahupun nafilah (sunat).
Sebagai contoh, jika anda mendapati seorang lelaki pergi awal ke masjid dan merasa sedih apabila orang lain sampai lebih awal berbandingnya, ataupun anda mungkin mendapati dia berusaha untuk memebaca al-Quran sebanyak yang mungkin dan mempraktikkan zikir-zikir berbanding orang lain. Ataupun anda mendapati dia melakukan bermaca-macam ibadah, dan berusaha untuk memastikan setiap ibadahnya bertepatan dnegan Sunnah tanpa ada elemen-elemen bida’ah, supaya ibadahnya diterima oleh Allah. Ini kerana apabila perbuatan seorang Muslim diterima, dia akan mendapat keredhaan daripada Allah. Kita memohon supaya Allah menerima semua amal kita, kerana Dialah yang Maha Mendengar, dan Maha Memberi. (Tamat Petikan)
Syeikh Soleh al-Fauzan berkata dalam al-Muntaqa (2/soalan no. 270):
Anda mestilah berpegang teguh dengan Sunnah Rasulullah SAW dan istiqamah dengannya, dan tidak pula mempedulikan mereka yang mengkritik anda ataupun menyalahkan anda. Apatah lagi jika Sunnah itu termasuk dalam suatu kewajipan yang mesti dipenuhi, dan bukanlah cuma sekadar perkara yang mustahab, dengan syarat anda tidak menjadi ghuluw. Akan tetapi jika anda menjadi ghuluw, maka, itu bukanlah perkara yang sepatutnya. Kerana apa yang betul dalam melaksanakan Sunnah adalah untuk berlaku adil dan sederhana dan mengamalkannya tanpa berlebih-lebihan dan tidak pula melakukannya sambil lewa. Inilah yang patut anda lakukan. Apapun, anda akan menerima ganjaran, Insya Allah. Dan anda mestilah berpegang teguh dengan Sunnah Rasulullah SAW. (Tamat Petikan)
Kedua:
Berkenaan hadith yang ditanya, ianya merupakan hadith yang dhaif. Berikut merupakan perbahasan mengenai hadith tersebut.
Ianya diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpegang teguh dengan Sunnahku sewaktu para manusia sedang dalam keadaan yang terseleweng akan mendapat ganjaran 100 orang syahid.” Diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam al-Awsat (2/31) dan darinya oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (8/200).
Terdapat dua penyakit pada sanad hadith ini:
1 – Cuma Abd al-Majid ibn Abd al-Azizz ibn Abi Rawaad satu-satunya yang meriwayatkan hadith ini dan ini tidak boleh diterima.
2 – Muhammad ibn Soleh al-‘Adhri seorang yang majhul (tidak dikenali). Ibnu Hajar Al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaa’id (1/172) berkata: Aku tidak menjumpai sesiapa yang menulis mengenai beliau.
Tambahan pula, ia diklasifikasikan sebagai dhaif oleh Syeikh al-Albani dalam al-Silsilah al-Dhaifah (327).
Telah diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang berpegang dengan Sunnahku semasa ummatku dalam keadaan yang terseleweng, akan mendapat pahala seratus orang syahid.”
Diriwayatkan oleh Ibn ‘Adiyy dalam al-Kamil (2/327). Sanadnya adalah dhaif jiddan (sangat lemah). Ia memasukkan al-Hasan ibn Qutaibah, yang matruk al-hadith (tidak diterima hadithnya). Lihat biografinya dalam Lisan al-Mizan (2/246). Ianya juga dikelaskan sebagai dhaif oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Dhaifah (326).
Dan Allah Maha Mengetahui.
No comments:
Post a Comment