Tuesday, March 31, 2009

Melayu Tersisih Jika Tidak Berilmu

KONSEP umat Melayu dalam maksud umat teras dalam politik dan pemerintahan di Malaysia mempunyai asas sejarah serta budaya yang kuat. Meskipun zaman berubah dan banyak faktor teras terjejas, memperkasa umat Melayu perlu diteruskan.

Ini termasuk dalam pemahaman dan penghayatan agama, penguasaan ekonomi seimbang, pembangunan modal insan cemerlang dan berkualiti, menampilkan kualiti kepemimpinan serta kepengikutan yang terpancar daya keadilan dan amanah yang tinggi.

Tidak salah kita mengambil manfaat berbanding daripada sumber ilmu, budaya dan tamadun orang lain tetapi maksud umat Melayu merujuk kepada tamadun Islam yang harus mampu membangunkan jiwa berfikir di kalangan penganutnya. Umat Melayu sama ada kepemimpinan mahupun pengikutnya harus bersedia memperkasa diri dengan penghayatan Islam.

Atas sifat suatu bangsa semata-mata, ia tidak memiliki keteguhan sifat nilai yang mampu mencernakan amanah, keadilan, kejujuran dan keikhlasan. Islam dan al-Quran yang memancarkan nilai alamiah mampu dijadikan landasan teguh bagaimana makna amanah dalam kepemimpinan dapat diolah, adil dalam pengurusan sistem dapat berlaku, jujur dalam kata-kata dan amalan dapat berjalan dan ikhlas dalam amal dan perbuatan boleh terjadi. Puncak kepada sifat nilai disandarkan kepada yang Maha Mengetahui iaitu Allah.

Bersifat sebagai suatu bangsa semata-mata, tidak memandu untuk memberikan pedoman membangunkan umat dalam erti kata luas. Apabila konsep umat dalam hubungan umat pertengahan memberi landasan kepada bangsa Melayu untuk menjadi umat terbaik.

Tidak salah Islam dimanifestasikan dalam sistem pembangunan di Malaysia kerana risalah yang dibawanya adalah untuk kesejahteraan umat manusia. Sebarang perbincangan di kalangan orang Melayu mengenai keunggulan umat teras perlu dikaitkan dengan Islam sebagai agama pendukung tamadun.
Jika tidak, sifat sesuatu bangsa itu akan menjadi kosong dan hampa kerana kandungan ilmu serta rohaniahnya kontang. Hanya bangsa yang mempunyai upaya berkenalan yang tinggi saja mampu melahirkan kecemerlangan pada jiwa dan jatidiri bangsanya.

Oleh itu, baik kongres mahupun simposium yang menjuruskan perbincangan mengenai kepentingan umat Melayu sebagai teras harus jelas dengan sifat nilai yang ingin dikembangkan. Jika sifat nilai bangsa terpancar secara kaumiyyah ia tidak banyak membantu bagi meletakkan kedudukan bangsa yang penuh dengan cabaran persaingan.

Apa lagi faktor bangsa yang didekati dengan fahaman sekular dan liberal, bangsa Melayu tidak lebih sebagai penciplak dan pengguna setia terhadap tamadun kebendaan Barat dan ia tidak juga memperkasa umat Melayu secara jangka panjang.

Hari ini kemelut yang ditanggung oleh umat Melayu ialah hilangnya rasa percaya terhadap sistem kepemimpinan yang menyebabkan orang Melayu mencari alternatif.
Kebangkitan generasi cerdik pandai Melayu yang lahir sekitar 80-an dan 90-an dalam bidang dakwah dan Islam sedang menempatkan diri dalam sistem sama ada pemerintahan mahupun di bidang profesional.

Jika dasar negara yang didukung oleh kepemimpinan Melayu tidak peka mengenai keperluan mengukuhkan kualiti ilmu dan penghayatan yang Islami ia boleh menyebabkan jurang pemikiran antara kelompok ini dengan kelompok penggubal dan pelaksana dasar menghadapi konflik.

Konflik itu akan memberi kesan kepada ketirisan wibawa umat Melayu sebagai umat teras. Perlu diwujudkan suatu sinergi bagaimana potensi ilmuwan dan profesional umpamanya diberi ruang yang luas mewujudkan sistem berasaskan orientasi Islami supaya tenaga yang ada dapat menyumbang ke arah pengukuhan dan kemajuan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Kemajmukan tidak harus menjadi suatu realiti menakutkan. Keperluan integrasi tidak hanya berlegar di sekitar faktor luaran di sekolah, pejabat atau dalam masyarakat secara luaran. Integrasi sebenar hanya boleh berlaku jika hubungan minda diperteguhkan, hubungan hati diperkukuh supaya setiap warga Malaysia berasa selesa dan yakin terhadap hala tuju pembangunan dan perubahan.

Memperkasa umat Melayu sebagai umat teras menuntut kebijaksanaan tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan, harus berlangsung suatu pembaharuan. Pembaharuan ilmu dan pendidikan harus mampu melepaskan diri ilmuwan Islam daripada belenggu kebekuan dan bersikap ambil muda terhadap perubahan.

Tradisi unggul pada masa lalu harus dijadikan mata rantai untuk memimpin perubahan pada masa kini supaya ia senafas dengan zaman dan cabaran lingkungan. Pembaharuan tidak harus berlaku hanya dalam bentuk yang sifatnya luaran, tetapi harus mendasari akal dan hati.

Ini supaya daya intelektual tinggi lahir mencetuskan karya besar dalam pelbagai disiplin ilmu dan keupayaan untuk menawarkan kualiti kepemimpinan, terlihat pada dirinya gambaran amanah yang tinggi, cintakan keadilan dan ikhlas menyumbang ke arah memperkasa umat Melayu dan umat manusia.

Memperkasa umat Melayu bermula dengan contoh dan teladan yang tinggi supaya menjadi sumber ikutan baik di kalangan rakyat. Harus wujud suasana kebebasan memberikan pandangan membina supaya setiap pihak berasa selesa dengan kritikan membina untuk kebaikan semua.

Jiwa Mati Jika Kekontangan Ilmu Agama

Hawa nafsu suka kebodohan, kemalasan jauhkan seseorang daripada Islam

APABILA Allah menghendaki kebaikan pada diri manusia, maka Dia akan menitiskan ke dalam hati mereka satu semangat cintakan ilmu-Nya. Dengan ilmu itu manusia mengerti mengenai dirinya, baik kelebihan, mahupun kelemahannya. Ilmu juga menunjukkannya jalan yang benar dan menasihati hati untuk tidak mengambil jalan salah.

Al-Imam Ibnu al-Jauzi menulis mengenai keutamaan ilmu dalam kitab Shaydul Khatir: “Ilmu sudah membawa diriku menuju pengetahuan mengenai Sang Pencipta dan ilmu menyuruhku untuk berbakti kepada-Nya. Maka aku pun tunduk di hadapan kekuasaan-Nya seraya melihat sifat-Nya. Hatiku juga berasa getaran kebesaran-Nya sehingga aku tertunduk malu kerana cinta kepada-Nya. Ilmu juga yang menggerakkan aku untuk sentiasa berada dekat ke riba-Nya dan menolong aku mencapai ketinggian ubudiyah kepada-Nya. Aku hanyut dalam kebesaran-Nya setiap kali mengingati-Nya dalam zikirku. Saat menyendiri adalah saat ibadahku untuk-Nya. Apabila terdetik hatiku mahu meninggalkan ilmu, ia berkata: Apakah kamu mahu berpaling dariku, padahal akulah yang menjadi petunjuk jalanmu sehingga kamu mengenal Allah? Aku pun menjawab: Sesungguhnya engkaulah penunjuk jalan, tetapi aku sudah sampai ke destinasi, masihkah aku memerlukan petunjuk jalan? Ilmu berkata lagi kepadaku: Oh, tidak! Setiap kali bekalmu bertambah, akan bertambah pula pengetahuanmu mengenai Kekasihmu dan kamu semakin faham bagaimana cara mendekati-Nya. Esok kamu akan tahu sebenarnya hari ini kamu masih banyak menyimpan kekurangan. Tidakkah kamu mendengar firman-Nya kepada Nabi SAW: Katakanlah (Wahai Muhammad) Oh Tuhanku, tambahkanlah ilmuku.” (Surah Taha, ayat 14)

Jika hati sudah berpaling daripada ilmu, ia akan disibukkan yang selain daripada-Nya. Saat itu anda kehilangan kemanisan bermunajat kepada Allah, itulah azab yang paling dahsyat dalam kehidupan seorang hamba.

Ilmu mengenai Islam bukan milik pelajar yang mengambil aliran agama saja. Ilmu Islam bukan terbatas hak milik ustaz dan ustazah saja. Al-Quran diturunkan bukan untuk kalangan hamba yang belajar agama, sementara orang kebanyakan tidak berhak mempelajarinya.

Maka, yang duduk di masjid ialah hanya pesara, orang yang pernah berkaitan dengan sekolah agama atau pondok, anak dan cucu imam saja.
Ramai lagi yang belum bersedia belajar mengenai Islam, bahkan mungkin tidak tergerak pun mahu menghayati agama yang diwariskan dari zaman berzaman. Bagi mereka cukuplah kiranya agama Islam itu hanya mengucap syahadat dan setahun sekali berasakan hari raya.

Semudah itukah sebenarnya agama yang perlu difahami dan diamalkan? Hakikatnya, perkara yang menjauhkan seseorang daripada Islam ialah hawa nafsunya yang suka kepada kebodohan dan kemalasan, diperhamba oleh syahwatnya sendiri, condong kepada kejahatan dan termakan pujuk rayu syaitan. Hingga suatu masa, Allah membersihkan diri mereka daripada palitan kebusukan hawa nafsu yang menjijikkan itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan mungkar, sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorangpun daripada kamu bersih (dari perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nuur, ayat 21)

Ayat itu menegaskan cara Allah menyelamatkan manusia daripada kejahatan diri sendiri, iaitu Allah membersihkan mereka dengan kurnia-Nya yang berupa hidayah dan ilmu, ditambah lagi dengan turunnya rahmat supaya manusia tidak tenggelam di lautan kekejian dan kemungkaran.
Hidup tanpa ilmu Islam umpama badan tanpa roh. Tegasnya, jiwa manusia boleh mati disebabkan kekeringan ilmu agama. Akhirnya yang berjalan itu hanyalah makhluk manusia tanpa perasaan, hati dan arah tuju yang jelas.

Mahu ke mana dia melangkah? Di mana tempat berhenti dan destinasi yang terakhir? Langkah sekadar mengikuti kelazatan syahwatnya sendiri. Maka, ramai mengadu tidak pernah berasakan kepuasan, walaupun sudah berada di puncak kejayaan dalam kariernya, tetapi pada masa sama ramai tidak peduli naluri mereka yang sebenarnya haus akan sentuhan hidayah Allah.

Naluri manusia perlukan Allah. Mereka tidak mungkin mencapai-Nya melainkan dengan ilmu Islam. Tetapi sayang, ramai yang menunda masa untuk belajar. Tunggu pergi haji atau pencen nanti, nak Islam jika perlu untuk uruskan orang mati, kenduri tahlil, majlis makan dan doa selamat.

Islam seolah-olah hanya suatu simbol untuk sekadar membaca doa pada majlis keramaian, balik rumah nanti masing-masing dengan perangainya yang bercanggah nilai Islam. Islam itu ilmu, memeluk Islam bererti meletakkan komitmen belajar melebihi komitmen yang lain.

Sahabat Baginda SAW terdiri daripada pelbagai golongan, mereka bekerja sebagai peniaga dan petani yang berjaya. Islam sudah membuktikan semakin mereka mencintai ilmu, beriman dan berjuang untuk Islam semakin terbuka lebar pintu dunia boleh ditakluki.

Kurang daripada 50 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW, Islam sampai di Afrika Utara hingga Asia. Siapa kata orang yang berpegang kepada agama tidak boleh memimpin dunia?

Tetapi, kini generasi baru ada yang percaya konsep jika mahu berjaya pisahkan diri daripada Islam. Jangan campurkan urusan dunia dengan Islam. Akibatnya ilmu agama kehilangan peminatnya dan agama tidak dijadikan pegangan hidup. Ia hanya sekadar simbol rasmi milik masyarakat turun temurun.

Akhirnya yang lahir adalah generasi buta agama, tidak mesra al-Quran, alahan apabila mendengar hadis dibaca. Yang paling teruk ialah menaruh rasa curiga dan permusuhan apabila ada seseorang yang mahu menegakkan Islam. Mereka percaya, Islam menghalang kemajuan.

Puncanya kerana dari kecil hingga dewasa hatinya tidak tersentuh dengan ilmu Islam. Mereka hanya belajar bagaimana menguasai dunia, tetapi tidak tahu bagaimana menundukkan jiwa, mereka belajar memakmurkan bumi, tetapi jahil mengenai Tuhan yang Maha Menguasai langit dan bumi. Mereka tidak kenal agama melainkan kulitnya saja, bahkan condong kepada fahaman buatan manusia.

Prof Dr Hamka pernah mengingatkan pemuda yang dipengaruhi fahaman dari luar Islam pada zaman komunis bermaharajalela di Indonesia suatu ketika dulu. Hamka berkata: “Ramai pemuda sekarang ini yang bangga dengan fahaman liberalis, kapitalis, sosialis, marxis, nasionalis, materialis. Akhirnya apabila sudah kena jangkitan siflis (penyakit kelamin), kaki berjalan mengangkang dan menangis barulah balik kepada agama.”

Fahaman dan buah fikiran boleh dicipta, tetapi jangan sampai menentang agama dan wahyu. Ramai orang yang disesatkan oleh ilmunya kerana berpaling daripada ilmu Allah.

Tuesday, March 24, 2009

Makluman


Makluman, pihak KFC telah pun menghantar surat peguam kepada HPA Industries Sdn Bhd yang menitahkan agar gambar dan warna RFC yang sebelumnya ditukarkan segera kepada warna Oren. Selain itu, gambar RFC lama yang dipaparkan dalam web dan ahli HPA juga diminta tukar segera. Yang kita perjuangkan adalah perniagaan yang berorentasikan Islam, bukannya warna. Warna oren adalah lambang kegagahan. Dibangunkan atas dasar tuntutan pengguna yang semakin keliru dengan zat dan nutrien ayam hari ini.

Dari Guangzhou, Guangdong, China.

Tuesday, March 10, 2009

Guangzhou Bakal Menguasai Pasaran Dunia


Bandar Guangzhou yang sebelum ini dikenali sebagai Canton, adalah satu bandar ke-3 yang terbesar di negara China ini. Umum tahu, Guangzhou ini adalah satu pusat perniagaan yang terbesar di dunia. Bilangan penduduknya sekitar 15.07 juta, mampu menjadikan Bandar Guangzhou ini sebagai pintu perniagaan global. Penduduknya yang berbahasa kantonis ini tidak pernah kenal erti penat dan letih dalam kamus hidup mereka. Sebaliknya, penghayatan mereka bahawa `hanya orang yang kuat sahaja, yang mampu hidup di dunia ini` telah jadikan sebagai makanan harian minda.

Sementara rancak meneliti pelan pembangunan di Guangzhou. Dibentangkan pula bajet pelaburan bagi tahun 2009 ini. Saya agak kagum dengan bajet yang dilaburkan untuk bandar Guangzhou ini kerana jumlah pelaburannya itu begitu luar biasa sekali, iaitu berjumlah 80.65 billion yuan ($11.7 b) bagi untuk melaksanakan 82 projek di bandar ini. Sebahagian bajet daripada projek infrastruktur tersebut akan digunakan bagi penyediaan projek Asian Games ke-16, yang akan diadakan di bandar Guangzhou pada 2010 nanti. Namun begitu, bajet tersebut akan digunakan untuk mempertingkatkan kelancaran jalan raya, trafik, taraf hidup penduduk dan pembangunan yang moden.

Dengan kata lain, bajet bagi 82 projek infrastruktur itu telahpun diklasifikasikan mengikut keperluan dan kebaikan dalam memaksimumkan kebajikan masyarakat. 24 projek daripadanya adalah bertujuan untuk mempertingkatkan infrastruktur bandar yang berjumlah 23.5 billion yuan. 6 projek seterusnya adalah bertujuan untuk memelihara alam sekitar dengan bajet berjumlah 28.12 billion yuan. Seterusnya, 5 projek yang berikut adalah bertujuan bagi projek Asian Games 2010 ini, berjumlah sekitar 7 billion yuan. Selain itu, kerajaan bandar juga melaburkan dana sebanyak 4.34 billion yuan bagi melaksanakan 11 industri moden yang berkualitikan tinggi. Sementara, 10.19 billion yuan pula akan di laburkan bagi 20 projek industri asas yang mencakupi pelbagai teknologi terkini.

Berikutnya, sebanyak 6 projek bakal dilaksanakan bagi kemudahan perkhidmatan dengan jumlah bajet 2.4 billion yuan. Sementara 10 projek yang berikutnya adalah bertujuan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan, kemudahan perubatan, rumah opera, perpustakaan dan kos hidup. Pelaburan yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk melicinkan arus pertumbuhan ekonomi serta mempertingkatkan taraf kualiti hidup rakyat. Maka dengan itu, tidak hairanlah pada 2015 yang akan datang, bandar Guangzhou ini akan menjadi pusat perdagangan yang paling pesat didunia. Kenyataan inilah yang dilampirkan dalam newspaper china daily, bahawa kerajaan China ini begitu optimis sekali untuk menjadikan bandar ke-3 terbesar di China ini menguasai pasaran dunia.
Pada tahun lepas sahaja, pelaburan yang dibuat adalah sebanyak 55.19 billion yuan bagi membangunkan 76 projek infrastruktur. Manakala peratus keluaran dalam negara(GDP) dicatatkan sebanyak 8.5 % bagi tahun 2008. Walaubagaimanapun, pada tahun ini, ahli ekonomi Guangzhou akan memastikan bahawa sasaran mereka untuk melonjakkan pertumbuhan GDP sebanyak 10% akan tercapai.

Shunde Pusat Perabot Terbesar Di Dunia



Dari Guangzhou menuju ke Shunde mengambil masa dalam sekitar 1 jam setengah untuk tiba disana. Destinasi ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk melihat satu kawasan yang menjadi tumpuan sebagai pusat perabot yang terbesar di dunia. Kawanan tumpuan ini terletak di Bandar Foshan, Daerah Guangdong, China. Mempunyai keluasan kilometer persegi sekitar 12 km yang mampu memuatkan setiap jenis dan kualiti perabot yang ada di seantero dunia. Disamping itu, terdapat juga bandar-bandar yang menjadi tumpuan pusat perabot di China ini, diantaranya bandar Huanan, Phoenix, Qingyuan dan Heshan. Akan tetapi, pusat perabot yang menjadi tumpuan dan terbesar di dunia ini adalah di Shunde. Ia bererti bahawa setiap jenis dan kualiti perabot yang terdapat di setiap bandar tadi telah wujud ke semuanya di Shunde.



2 hari yang lalu, saya hanya berkesempatan mengunjungi kawasan perabot yang berjenis dan berkualitikan A. Di situ terdapat pelbagai jenis dan rekaan perabot yang mampu memenuhi citarasa pembeli yang agak tinggi . Namun begitu, saya katakan ini adalah ruang dan peluang bagi HPA untuk menguasai potensi dunia perabot yang globalisasi ini. Ketibaan kami di Shunde itu, telah membukakan minda belia ini menuju ke minda tajdid yang beraruskan dunia globalsasi. Sejenak memandang kawasan perabot ini, saya begitu kagum dengan ilmu yang Allah berikan ini kepada bangsa cina. Mereka mampu mempraktikannya dengan baik berdasarkan teori yang dipelajari. Kekadang teringat saya akan kata-kata masyarakat di Malaysia mengenai barangan buatan China ini, kata mereka `barangan buatan cina, semuanya tidak bagus `. Ingin saya menyangkal kenyataan dan penjelasan sedemikian itu kerana kita perlu mengubah minda ini kepada positif bahawa tidak ke semuanya barangan Cina ini tidak bagus. Sebaliknya, kita perlu memanfaatkan segala ilmu yang ada pada mereka, bagi memaksimumkan kemahiran dan pemikiran yang kita miliki. Dengan itu, Insya Allah saya menyakini bahawa selepas ini kita tidak akan lagi menjadi pengguna setiap barangan, sebaliknya kita pula menjadi pengilang dan pengeluar setiap barangan tersebut. Insya Allah.

Friday, March 6, 2009

Lagi pelajar tajaan HPA ke China



Terlebih dahulu, saya ingin ucapkan takziah kepada keluarga Pak Kusnadi. Seorang herbalis yang begitu disegani dalam HPA, pengetahuan beliau yang begitu luas mengenai perubatan dan kegunaan herba ciptaan Allah ini secara tidak langsung telah menghasilkan ramai sang herbalis yang berkemahiran tinggi dalam bidang pengubatan jawi HPA. Bahkan beliau sedikit pun tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang fasilitator dan perawat kaedah pengubatan Islam ini dikala beliau mempunyai masalah penglihatan. Matlamat beliau yang begitu jelas dalam menerajui bidang perubatan Jawi ini telah merentasi kaedah perubatan moden yang tidak ada jalan penyelesaiannya. Malah, hampir ke semua ilmunya mengenai perubatan Islam ini di kongsi bersama melalui nukilannya dalam buku-buku HPA. Saya mendoakan agar jasa dan kebajikannya akan dibalas seperti mana yang telah beliau laksanakan didunia ini. Semoga beliau ditempatkan ke dalam golongan orang yang beriman lagi tinggi darjatnya. Amin.

Dalam pada itu, Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana telah mengkurniakan ruang dan peluang kepada HPA untuk menghantar 2 orang pelajar lagi ke China bagi melaksanakan tuntutan Fardu Ain dan Fardu Kifayah, disamping ucapan tahniah diucapkan kepada mereka iaitu Mohamad Arsyad Bin Marzuki dan Mohamad Abu Al-Ghida Bin Jamaluddin Yeop Majlis. Ketibaan mereka di bumi China ini pada 18 feb 2009, telah mengukirkan satu sejarah bahawa Insya Allah, misi `Produk Halal Tanggungjawab Bersama` ini akan diterajui oleh kami sepanjang keberadaan kami disini. Dengan kata lain, selama 4 bulan saya menetap di Guangzhou ini, sering kali saya mendengar ucapan daripada sekumpulan orang Malaysia bahawa `Rasulullah s.a.w pernah bersabda :” Tuntutlah ilmu sehingga ke negara China`, terlebih dahulu saya ingin memohon maaf untuk menyangkal hadis itu dan semoga Allah mengampuni mereka yang berucap kerana hadis tersebut tidak pernah wujud atau dinyatakan didalam mana-mana kitab hadis seperti Al-Bukhari dan Muslim. Bahkan kesahihannya juga begitu lemah untuk dihasankan. Sebaliknya kita dilarang oleh Baginda Rasulullah s.a.w agar tidak melakukan dusta ke atasnya, dari segi lisan, perkataan mahupun perbuatan kita dilarang sama sekali. Nabi s.a.w. dalam hadith yang mutawatir: "Sesiapa yang membuat dusta ke atasku maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka"
(Hadith ini diriwayatkan oleh sepuluh para imam dan ianya mutawatir, ruj: Muqaddimah Miftah al-Jannah m.s. 31, `Abd ar-Rahman Fakhuri, ctk. Dar as-Salam, Mesir). Akan tetapi, kita menerima kata-kata itu sebagai tuntutan Islam dalam meyampaikan dakwah dan ilmu yang manfaat kepada umat Islam di China ini.

Saya ingin menyentuh satu perkara mengenai umat Islam di China ini. Setiap lorong, jalan dan daerah yang saya lalui, saya mendapati bahawa umat Islam di China ini mempunyai masalah yang agak kritikal dari segi kebersihannya. Bukankah didalam Islam kita diajar untuk menguruskan kebersihan diri. Dahulunya akhlak umat Islam kita begitu terserlah sekali sebagai ikon kepada bukan Islam dalam memenuhi akhlak manusia yang luhur. Tetapi umat Islam di China ini seakan-akan lupa tanggungjawabnya dalam menguruskan diri. Bukankah akhlak itu suatu sumber zahir yang mampu membuatkan bukan Islam tertarik dengan Islam? Inilah persoalan yang perlu dikaji puncanya. Maka sesuailah ucapan `Tuntutlah ilmu sehingga ke negara China` ini dijadikan sebagai misi kita di China ini, dalam memastikan kebersihan umat Islam di China ini kembali bersinar dan terserlah seperti dahulu kala. Untuk memastikan misi tersebut tercapai. Kita mestilah menuntut ilmu mengenai cara kehidupan dan budaya umat Islam di China ini. Maka dengan itu, Insya Allah kita mampu membawa mereka selangkah tajdid di dalam kehidupan mereka. Bagi saya untuk memastikan misi ini tercapai, bukan awalnya yang ditanya, tetapi kesudahannya bagaimana ? Semoga misi ini berakhirnya dengan kebaikan. Insya Allah.