Tuesday, August 23, 2011

Mengapa Bangsa Dan Tamadun Itu Maju?

1. Ada yang berpendapat bahawa berjaya atau tidaknya sesuatu bangsa bergantung kepada keturunan dan warna kulit. Ada yang berpendapat orang kulit putih memiliki sifat-sifat semula jadi yang membolehkan mereka berjaya dan orang Cina, orang Jepun dan Korea mempunyai sifat tertentu yang menolong mereka mencapai kejayaan. Ada juga yang berpendapat bahawa orang kulit sawo matang serba kekurangan, tidak boleh menguasai ilmu dan kecekapan tertentu. Orang Melayu kononnya tidak boleh berjaya dalam bidang perniagaan. Sebab itu pantun lama Melayu berbunyi:- Buai laju-laju; Sampai balik sana; Beli baju baru; Dari kedai Cina. Kedai bagi orang Melayu mestilah dimiliki oleh orang Cina. Demikian juga tukang apapun mestilah terdiri daripada orang Cina. Orang Melayu tidak ada kedai dan tidak boleh jadi tukang.

2. Tetapi sebenarnya yang menentukan berjaya atau tidaknya sesuatu bangsa dalam apa juga bidang bergantung kepada nilai dan budaya bangsa itu, lebih penting lagi yang diamalkan oleh bangsa itu. Jika jumlah nilai budaya itu sesuai dengan kejayaan, maka berjayalah bangsa itu, jika tidak, tidaklah.

3. Apakah jika budaya itu tidak sesuai dengan kejayaan maka akan mundurlah bangsa itu selama-lamanya? Walaupun ini mungkin, tetapi ia tidak semestinya begitu. Jika ada kesedaran dan ada minat serta keyakinan, budaya boleh ditukar daripada yang tidak sesuai kepada yang sesuai dengan kejayaan.

4. Sebenarnya semua bangsa mempunyai kebolehan yang sama. Tidak ada bangsa atau keturunan etnik yang lebih mampu daripada yang lain. Ini dapat dibuktikan daripada sejarah. Apabila budaya yang sesuai diserapkan, maka bangsa yang mundur tiba-tiba boleh menjadi bangsa yang maju sehingga dapat menguasai dunia.

5. Contoh yang tepat ialah Arab Jahiliah sebelum kedatangan Islam. Mereka amat bodoh, mempunyai budaya yang buruk yang menyebabkan mereka sanggup membunuh anak perempuan mereka, bermusuhan antara kabilah- kabilah mereka sepanjang masa, suka dipuji dan mudah marah tanpa usul periksa. Apabila Nabi Muhamad S.A.W. membawa agama Islam, mengharamkan pembunuhan anak perempuan, menghapuskan ketaksuban kepada kabilah dan menerima nilai-nilai Islam yang mulia, bangsa yang jahil dan kolot ini telah bangun dan maju dengan pesatnya. Dalam masa hanya seratus tahun mereka dapat mendirikan sebuah empayar dari Sepanyol di Barat sehingga ke negara China. Melalui hubungan dengan bangsa-bangsa lain mereka dapat menguasai berbagai- bagai ilmu, mencipta angka, mempelopori ilmu hisab yang tinggi dan mencipta tulisan dan membukukan segala ilmu. Satu tamadun yang tinggi dapat didirikan oleh bangsa yang dahulunya jahil dan tamadun ini kekal lebih dari satu alaf.

6. Satu contoh lagi ialah kemunculan bangsa Mongol dengan tiba-tiba. Dalam satu generasi bangsa nomadik yang tidak tahu berumah tetap, terbahagi kepada berpuluh-puluh suku kaum yang kecil yang selalu berperang sesama sendiri; bangsa yang tidak tahu bercucuk tanam tetapi hanya menternak binatang dan dengan itu terpaksa berpindah-pindah untuk mendapatkan kawasan yang berumput; bangsa ini telah menguasai dunia.

7. Mereka yang kolot dan tidak bertamadun ini telah disatukan oleh Ghengis Khan, dipupuk dengan budaya bangsa yang satu, didisiplinkan dan disusun mengikut pasukan yang tidak mengambilkira suku kaum, dilatih rapi dan dihimbau ke arah negara jiran yang berpenduduk tetap dan kaya-raya. Bala tentera Mongol bergerak dengan pantas dan menyerang empayar-empayar dari China di Timur dan Hungary di Barat. Mereka mengambilalih budaya dan tamadun bangsa yang ditakluki oleh mereka dan berjaya mendirikan beberapa negara di Asia Barat, India, Asia Tengah dan Timur.

8. Kita tahu semua empayar dan tamadun akhirnya runtuh juga tetapi bagi bangsa yang bertamadun tinggi dan lama, hasil dan kesannya kekal walaupun empayar sudah tidak ada lagi.

9. Kita orang Melayu dijajah oleh Barat selama 462 tahun, bermula dengan kejatuhan Melaka di tangan Portugis. Negeri-negeri Melayu Semenanjung kecil-kecil semuanya dan menjadi lebih kecil kerana terlalu mudah memberi wilayah untuk raja-raja kecil mendirikan pemerintahan sendiri. Tiap kali ada kemangkatan raja maka berebut-rebutlah waris untuk menduduki takhta. Dalam perebutan ini waris yang lemah suka meminta pertolongan daripada kuasa asing dan meletakkan diri serta negeri di bawah naungan kuasa yang menolong.

10. Akhirnya semua negeri Melayu ini ditakluk oleh orang asing. Tetapi orang Melayu tidak membuat apa-apa untuk membebas atau memajukan diri. Mereka berasa senang hati menerima `political pension` dan menyerahkan pemerintahan serta ekonomi kepada penjajah dan kaum mendatang. Oleh kerana kutipan cukai biasanya dilesapkan oleh pegawai dan sedikit benar yang sampai ke tangan raja, kutipan cukai ini diserahkan kepada kapitan-kapitan Cina yang menjamin pulangan yang lebih tinggi. Demikian juga monopoli candu diserahkan kepada kaum pendatang kerana kurang percaya kepada pegawai sendiri. Apabila kaum pendatang memasuki bidang perniagaan, orang Melayu pun mengundur diri dan menyerahkan bidang ini kepada kaum asing. Demikian juga oleh kerana pendatang dari China menjamin pulangan yang lebih tinggi dan tetap daripada perlombongan timah, pembesar-pembesar Melayu menyerahkan tanah mereka untuk diusahakan oleh orang asing ini.

11. Akibatnya kaum pendatang bertambah sehingga mereka lebih ramai daripada orang Melayu. Jika tidak kerana resesi pada tahun 1920 hingga 1930 yang menyebabkan ramai daripada mereka kembali ke negara mereka, apabila tuntutan untuk kemerdekaan dibuat hasilnya mungkin seperti yang terdapat di negara jiran di selatan.

12. Tetapi pada pertengahan abad kedua puluh, orang Melayu menukar budaya mereka. Dihimpit dari luar mereka terpaksa merapatkan barisan, bersatu padu, bergerak cergas dan menentang usaha British untuk menjadikan negeri-negeri Melayu milik siapa sahaja yang bermastautin sekejap di sini.

13. British percaya orang Melayu akan menerima apa sahaja yang dibawa oleh orang kulit putih. Sebab itu mereka merancang Malayan Union tanpa berunding dengan seorang pun orang Melayu. Tetapi mereka terkejut kerana orang Melayu sudah menukar belangnya, sanggup bergerak, menyusun barisan dan menentang orang yang mereka anggap begitu `superior`.

14. Yang jelas ialah orang Melayu, walaupun mengambil masa 462 tahun, mampu menukar budaya daripada yang kolot kepada yang boleh memajukan. Proses penukaran budaya mengambil masa dan memerlukan kepada kejutan yang menggegarkan. Tetapi penukaran dapat dilakukan juga.

15. Soalnya apakah budaya yang membolehkan Melayu mencapai kejayaan ini dapat dikekalkan? Tamadun Islam kekal lebih dari satu alaf, tamadun lain kekal beratus tahun dan meninggalkan kesan sehingga kini. Apakah budaya Melayu dapat dikekalkan sehingga satu tamadun yang kukuh didirikan?

16. Dalam jangka masa hanya 54 tahun kemerdekaan bangsa Melayu mengamalkan budaya dan nilai-nilai hidup yang membawa banyak kemajuan kepada mereka. Di kalangan orang kulit sawo matang mereka sudah menjadi orang yang termaju sekali. Mereka bekerja kuat, menguasai ilmu, bersaing dalam bidang perniagaan dan perusahaan dengan jayanya, berdisiplin dan berpegang kepada undang-undang yang mereka gubal sehingga dapat memerintah dan membangunkan negara ke tahap yang tinggi.

17. Kita tahu semua tamadun akhirnya runtuh. Sepertimana pembangunan sesuatu tamadun disebabkan oleh pengguguran budaya buruk dan menggantinya dengan budaya yang sesuai dengan kemajuan, keruntuhan tamadun juga disebabkan oleh penukaran budaya. Demikian empayar Islam runtuh kerana keasyikan pemimpin dan rakyat dengan kemewahan hidup, perebutan kuasa, perselisihan keagamaan, pengekalan yang jumud, dan kepercayaan bahawa walau apapun yang dibuat oleh orang Islam, empayar dan tamadun mereka akan kekal.

18. Jika semua tamadun akan runtuh, apa perlunya kita orang Melayu mengejar kemajuan bangsa dan tamadun kita? Tetapi yang harus diingat ialah lebih lama dan lebih tinggi sesuatu tamadun, lebih besarlah peninggalannya. Dan bangsa yang bertamadun yang hidup ratusan tahun akan terus berada walaupun keagungannya tidak seperti yang dahulu. Sebab itu walaupun tamadun Melayu tidak kekal tetapi usianya hendaklah dipanjangkan.

19. Orang Melayu baru muncul 54 tahun sebagai bangsa yang bertamadun moden. Dalam masa itu satu bangsa yang bermaruah dan dihormati telah dapat ditempa dan dibangunkan. Tetapi ia belum matang; belumpun mencapai kemuncak yang termungkin. Malangnya sudah ada tanda- tanda yang tamadun yang muda dan rapuh ini akan merosot dengan cepat.

20. Seperti juga dengan tamadun lain, kejayaan membawa kemewahan dan iklim yang berbeza dari zaman himpitan oleh kuasa asing dahulu. Nampaknya ramai daripada kita yang percaya kita tetap akan kekal memerintah negara kita sendiri dan pemerintahan oleh kita sendiri tetap melindungi kita, memajukan kita. Apa juga yang kita lakukan tidak akan mengubah hakikat ini. Pemerintahan kita sendiri tetap berjaya dan berhasil. Dengan kepercayaan ini kita mula kembali kepada budaya lama kita, budaya mudah berpuas hati, budaya merebut kuasa, budaya bermusuh-musuhan sesama sendiri. Jika penukaran budaya ini tidak dibendung, tamadun moden yang baru kita dirikan akan runtuh. Memandangkan bahawa ianya hanya berusia 40 tahun, mungkin tidak akan ada apa-apa peninggalan yang bermakna. Akan sia-sia sahajalah usaha-usaha yang dibuat selama empat dekad kemerdekaan.

21. Kita demokratik. Demokrasi adalah sistem politik dan pentadbiran yang terbaik sekali. Ramai daripada kita yang percaya demokrasi tidak boleh salah dan tidak boleh membawa keburukan. Tidakkah bangsa Barat berkata bahawa `Vox populi, Vox Dei`, `Suara ramai Suara Tuhan`. Tentulah suara yang di Tuhankan oleh Barat tidak akan merosakkan kita.

22. Tetapi kita baru kenal demokrasi selama 54 tahun. Sedangkan ajaran Islam yang benar-benar ajaran Tuhan boleh disalahtafsir dan disalahamal oleh penganut agama Islam, apakah sistem ciptaan manusia seperti demokrasi tidak boleh disalahguna dan mendatangkan mudarat?

23. Kepercayaan yang keterlaluan di kalangan ramai daripada kita kepada demokrasi, sudah membawa perubahan dalam sistem nilai dan budaya kita. Unsur-unsur yang tidak sihat sudah mula dilihat dalam masyarakat Melayu. Ketertiban, kesopanan, disiplin dan semangat Kebangsaan sudah diganti dengan budaya liberal dan kebebasan diri yang tidak terhad anjuran Barat.

24. Apakah kita sudah bosan dengan tamadun yang baru sahaja kita bangunkan? Atau apakah kita percaya perubahan yang kita sedang lakukan kerana demokrasi liberal Barat akan membawa lebih banyak kebaikan dan kemajuan dengan lebih cepat?

25. Ada yang berpendapat bahawa mereka sedang gigih menukar budaya yang ada dengan budaya yang lebih baik. Walaupun dengan percubaan ini kita akan hancur, ini adalah risiko yang perlu kita ambil. Yang kita perjuangkan dahulu sudah kita capai. Sekarang perjuangan baru mestilah dibuat.

26. Memanglah perjuangan untuk pembaharuan perlu dibuat sepanjang masa. Jika tidak kita akan terikat dengan yang lama, akan tidak bergerak ke hadapan. Yang tidak maju ke hadapan tetap akan ketinggalan di belakang. Tetapi menukar kerana mahukan pertukaran atau `change for the sake of change` tidak mencerminkan kematangan kita. Sebelum kita melakukan pertukaran, penilaian yang teliti perlu dibuat dan jenis pertukaran yang hendak dilakukan dikaji dengan sebaik-baiknya. Tidak semua pertukaran akan membawa kebaikan. Banyak sudah pertukaran yang dibuat oleh beberapa negara yang hanya membawa keadaan yang lebih buruk. Pertukaran kepada ideologi Komunis dan `fascist` telah menghancurkan beberapa bangsa dan negara.

27. Oleh yang demikian , saya yakin tuan-tuan dan puan-puan tahu melalui pengalaman bahawa ilmu yang dipelajari dan dimiliki tidak dengan sendirinya membawa kejayaan. Iklim dan persekitaran berubah. Yang tahu membentuk sikap yang sesuai dengan perubahan akan berjaya, yang tidak tahu akan gugur walaupun terlatih dan berijazah.

28. Dalam negara berbilang kaum ini orang Melayu baru mula berjinak dengan bidang perniagaan dan perusahaan. Mereka terpaksa bersaing dengan kaum yang lebih pintar dalam bidang ini. Sebelum ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sukar bagi mereka mencapai kejayaan. Dengan DEB pun ramai daripada mereka masih gagal. Majoriti daripada mereka bergantung kepada Kerajaan kerana masyarakat belum menerima kebolehan mereka. Hanya dalam bidang profesional sahaja yang terdapat keyakinan orang ramai. Ini tidak mencukupi. Oleh itu dasar membantu Bumiputera masih diperlukan. Kita percaya bahawa dengan penerusan dasar ini orang Melayu akhirnya dapat menyaingi kaum lain tanpa bantuan Kerajaan.

29. Tetapi belum pun kita mencapai tahap ini, cabaran yang baru sudahpun menggelapkan pemandangan kita. Cabaran ini ialah cabaran globalisasi, cabaran dunia tanpa sempadan, cabaran wang dan materialisme serta ketamakan yang dipelopori dan diusahakan oleh kapitalis negara yang menjajah kita dahulu. Walaupun mereka menafikan yang mereka ingin menjajah kita semula tetapi apa yang kita lihat sudah dilakukan oleh mereka, tidak banyak berbeza dengan penjajahan mereka dahulu.

30. Seperti dengan ideologi-ideologi politik mereka, sistem `free market` yang mereka ciptakan ini dipromosi dengan cekap. Sekarang dunia sudah menerima akan perlunya `free market`, globalisasi, dunia tanpa sempadan, `level playing field` dan sebagainya. Demikianlah kejayaan mereka mempromosi ide-ide ciptaan mereka sehingga siapa yang menentang atau mengkritik konsep-konsep ini akan dianggap kolot, tidak bertamadun dan menjadi `heretic` atau murtad.

31. Kita tidak perlu menolak semua ini hanya kerana ia dicipta oleh bangsa-bangsa yang biasa menjajah kita, tetapi kita perlu faham konsep-konsep ini dan kemungkinan-kemungkinan yang akan datang daripadanya. Kita adalah negara membangun yang rapuh, negara yang mempunyai `disparity` pembangunan yang ketara di antara kaum, yang belum mampu bersaing dalam kebanyakan bidang perniagaan dan perusahaan. Sudah tentu jika kita menerima persamaan-persamaan layanan kepada semua pihak, sama ada dari dalam atau luar seperti yang disarankan oleh mereka, maka kita tidak boleh membezakan layanan antara kaum seperti yang diperuntukkan di bawah DEB. Soalnya ialah apakah kita sudah sampai ke peringkat yang kita boleh gugurkan asas- asas yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru? Yakinkah kita akan kebolehan kita tanpa sebarang perlindungan daripada Kerajaan yang bersimpati dengan kita?

32. Globalisasi bermakna penyatuan negara-negara supaya tidak ada lagi perbezaan layanan antara warganegara dan orang asing dalam perniagaan dan perusahaan. Tidak akan ada lagi perbezaan antara syarikat tempatan milik warganegara dengan syarikat asing atau antarabangsa. Semua syarikat bebas berniaga di mana-mana negara tanpa apa-apa sekatan. Tetapi kita tidak mempunyai syarikat yang mampu bergerak di negara- negara maju sedangkan mereka mempunyai ribuan syarikat gergasi yang boleh masuk ke negara kita. Persamaan layanan ternampak begitu adil tetapi jika mereka sahaja yang akan mendapat layanan, apakah ini adil?

33. Sebenarnya konsep globalisasi dicipta kerana kapitalis asing nampak perkembangan teknologi telekomunikasi boleh diperalatkan untuk memonopoli semua kegiatan dagangan di seluruh dunia dan melalui dagangan menguasai politik juga. Kita telah merasai sedikit sebanyak kesan globalisasi apabila matawang kita dikuasai nilainya oleh mereka. Dengan hanya menjatuhkan nilai matawang, mereka boleh menjadikan kita miskin dalam beberapa hari sahaja dan dengan itu kita menjadi pengemis dan meminta-minta pertolongan daripada mereka. Apabila pertolongan dipohon maka syarat tertentu dikenakan supaya segala urusan ekonomi negara diletak di bawah telunjuk mereka. Dengan ini mereka dapat memburukkan lagi keadaan sehingga berlaku rusuhan dan Kerajaan dijatuhkan. Jika Kerajaan yang mengganti tidak sanggup tunduk kepada mereka, Kerajaan itu akan dijatuhkan pula. Dengan ini kemerdekaan tidak bermakna lagi. Inilah contoh globalisasi yang telah kita lihat dan sedikit sebanyak kita rasai.

34. Sekarang ini kita lihat bank dan syarikat-syarikat gergasi di negara maju sibuk mengadakan gabungan dan pengambilan-alih bank dan syarikat lain supaya yang sudah besar menjadi lebih besar lagi; lebih besar daripada kebanyakan negara-negara di dunia. Apakah tujuan mereka membesarkan lagi badan korporat mereka jika tidak kerana melihat peluang yang akan wujud apabila globalisasi menjadi kenyataan. Gergasi-gergasi ini akan melanggar masuk apabila sahaja globalisasi dilaksanakan dan mereka akan menelan semua bank dan syarikat-syarikat tempatan.

35. Kata mereka apa perlunya syarikat kecil tempatan yang sudah tentu tidak mempunyai `economies of scale`, tidak dapat membuat `research` dan menyimpan data dan meningkatkan `efficiency` mereka serta memberi layanan yang baik kepada pelanggan? Kemasukan gergasi luar akan mengurangkan kos kepada pelanggan, membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa kerana mendapat pendapatan yang lebih besar dan kos sara hidup yang lebih rendah dari sekarang. Apabila Kerajaan melindungi syarikat tempatan yang kecil ia akan menjadi `inefficient`, dan kos akan menjadi tinggi. Dan kos yang tinggi ini akan dipikul oleh pengguna, iaitu rakyat. Kenapakah pengguna mesti memikul beban ini sedangkan syarikat gergasi antarabangsa boleh mengurangkan beban pengguna? Tentulah lebih baik jika sempadan direban, gergasi asing dibenar masuk dan menelan semua syarikat kecil tempatan.

36. Barat memang pintar. Apabila mereka ingin membuat sesuatu yang menguntungkan mereka, kempen diadakan oleh media mereka sehingga mangsa mereka berasa bersalah jika tidak menyokong pendapat mereka. Demikian apabila mereka melihat negara-negara Timur bangun dengan pesat dan dapat menyaingi mereka, maka mereka memulakan kempen dan usaha untuk menghalang kemajuan ini.

37. Korea Selatan ditakrif sebagai `Newly Industrialising Country` apabila ternampak ia mungkin menjadi Jepun kedua. Dengan itu pelbagai sekatan dikenakan. Tetapi Korea Selatan bukan sahaja terus maju, negara-negara Timur yang lain juga menunjukkan kemajuan yang pesat. Demikianlah kemajuan ini sehingga ada yang berkata abad ke-21 akan menjadi Abad Asia.

38. Supaya kemungkinan ini tidak akan menjadi kenyataan Barat mencari pendekatan lain. Maka bermulalah tuduhan bahawa kemajuan yang dicapai oleh negara-negara Timur ialah disebabkan amalan kroni- kapitalisme, iaitu pemimpin-pemimpin Kerajaan membantu kawan dan keluarga mereka membangunkan syarikat- syarikat gergasi yang boleh menyaingi syarikat Barat dalam pasaran dunia. Satu kempen besar-besaran diadakan berkenaan kroni-kapitalisme dalam media antarabangsa milik Barat.

39. Seperti yang mereka jangka dunia mengecam negara Timur kerana tidak mengurus ekonomi mengikut etika yang baik dan rakyat negara Timur juga turut mengecam apa yang dikatakan amalan buruk Kerajaan mereka. Kesatuan Sekerja Barat menghasut supaya pekerja Timur mengecam kronisme dan mengadakan mogok serta menuntut upahan yang boleh menjadikan syarikat-syarikat Timur tidak kompetitif.

40. Namun ekomomi negara Timur masih tumbuh dengan pesat. Dengan itu peniaga matawang pula mendakwa oleh kerana Kerajaan-Kerajaan Timur mengamalkan amalan- amalan yang tidak baik ini (kronisme), pelabur asing tentu akan menarik keluar modal mereka. Sebelum ini berlaku peniaga matawang menjual matawang tempatan kerana mereka percaya kononnya nilainya akan jatuh. Sebenarnya penjualan inilah yang menyebabkan nilai matawang negara-negara Timur jatuh, krisis kewangan berlaku dan pertumbuhan ekonomi Timur terhenti dan merosot.

41. Malaysia juga, dengan DEB dan penswastaannya kepada warganegara sendiri, dituduh mengamalkan kronisme dan dengan itu nilai Ringgit dijatuhkan. Ekonomi Malaysia juga turut merosot dan hampir semua syarikat Malaysia menjadi tenat. Segala kemajuan bagi ekonomi Melayu kerana DEB dan lain-lain terbantut sehingga keadaan kembali hampir kepada prestasi sebelumnya.

42. Yang malang sekali ialah yang menjadi mangsa kegawatan yang diusahakan oleh Barat kebanyakannya ialah peniaga Melayu. Tetapi demikianlah berkesannya propaganda Barat sehingga orang Melayu sendiri mahukan peniaga Melayu yang berjaya kerana DEB dan menghadapi masalah kerana kegawatan tidak dibantu. Segala pertolongan dianggap sebagai `bail out` dan `bail out` bermakna kronisme. Sebaliknya apabila Long Term Credit Management Fund (LTCM) Amerika tenat, kroni pemilik saham LTCM telah `bail out` LTCM dengan duit rakyat.

43. Tuan-tuan dan puan-puan tentu dapat melihat bahaya yang kita hadapi. Saya bukan berniat menakut-nakutkan tuan-tuan dan puan-puan supaya menyokong Kerajaan. Apa yang telah saya perkatakan sudahpun berlaku. Setelah merosakkan ekonomi kita dan negara-negara Timur yang lain, mereka sedang merancang untuk menguasai kita melalui globalisasi dan WTO. Terpulanglah kepada kita sama ada kita beralih menghadapi musuh yang sebenar dan serangan yang mereka akan lancarkan ke atas kita atau kita terus dengan bersengketa sesama sendiri.

44. Awal tadi saya telah jelaskan bahawa buruk baiknya sesuatu bangsa bergantung kepada nilai hidup dan budaya bangsa itu. Jika nilai dan budaya itu tidak baik bangsa itu boleh menukarnya dengan yang baik jika ingin memulihkan kemajuan bangsa. Apabila kaum jahiliah menerima nilai-nilai yang mulia dan baik daripada Islam, mereka menjadi bangsa yang mulia, bermaruah dan bertamadun tinggi.

45. Bangsa Melayu beragama Islam. Jika orang yang jahil boleh menjadi bangsa yang bermaruah, bertamadun tinggi apabila menerima agama Islam, apakah sebabnya yang orang Melayu tidak berjaya sekarang, tidak dapat mendirikan tamadun yang lebih kekal?

46. Sebabnya ialah sementara kita mengakui diri sebagai orang Islam, kita tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Kita tidak bersaudara tetapi sering mempersoalkan keIslaman orang Islam lain. Kita tidak tertib dan tidak pegang kepada ikrar kita. Kita suka mendengar dan mempercayai fitnah yang dibawa oleh orang yang berkepentingan. Dengan itu walaupun kita beragama Islam kita tidak berjaya, tidak menjadi orang yang mulia.

47. Islam bukan untuk dipakai. Islam adalah untuk diamalkan. Jika kita mengamalkan isi kandungan Islam, nescaya kita akan berjaya, seperti juga orang Islam di zaman kegemilangan Islam berjaya.

48. Jika kita terima pengamalan nilai Islam yang sebenar sebagai satu jalan yang boleh menjamin kejayaan kita, Insya Allah kita akan dapat menghadapi segala cabaran baik dari dalam atau luar serta bertindak memulih serta memajukan diri dan bangsa kita.

49. Bersama-samalah kita renung akan keadaan kita sekarang dan membuat keputusan untuk masa depan kita. Di tangan kita terletaknya nasib kita. Segala yang baik datang daripada Allah S.W.T. dan yang buruk daripada kita.

Oleh : Tun Dr Mahathir Mohamad
Tarikh: 26-02-2000