Sunday, June 14, 2009

Hadith: Siapa Kenal Dirinya Maka Kenal Tuhannya?

Jawapan:

من عرف نفسه فقد عرف ربه

Hadith ini dihukum sebagai palsu oleh para ulama hadith. Tidak boleh berpegang dengannya. Sesiapa yang membacanya tanpa diterangkan kepalsuannya, maka termasuk dalam golongan yang mengada-adakan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Ya, ramai yang berceramah serta berhujjah dengan menyebut bahawa perkataan tersebut adalah hadith Rasulullah s.a.w, sedangkan keputusan para ulama terhadap perkataan ini membuktikan ia hadith yang palsu, antaranya:

-Kata Ibn Taimiyyah hadith ini palsu.
-Kata al-Nawawi: Ianya tidak thabit.
-Kata Abu al-Muzaffar bin al-Sam`ani: “Ianya bukan daripada Rasulullah s.a.w.
-Kata al-Sayuti menyebut: “Hadith ini tidak sahih”..
-Kata Al-`Allamah al-Fairuz Abadi, penulis Al-Qamus: Ianya bukan daripada hadith-hadith Nabi sekalipun kebanyakan orang menganggapnya hadith Nabi s.a.w.. Tidak sahih sama sekali. Hanya diriwayatkan daripada Israiliyyat.”

(lihat: `Ali al-Qari, al-Masnu’ fi Ma’rifat al-Hadith al-Maudu’ المصنوع في معرفة الحديث الموضوع, m.s.189, Riyadh: Maktab al-Rusyd/ Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa` 2/262/ Nasir al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha`ifah wa Al-Maudu`ah, 1/166 / dan lain-lain.)

Sekali lagi saya lampirkan perkara ini adalah kerana terdapat penyalahgunaan dalam kalangan pejuang bahasa Melayu, bukanlah niat saya untuk mencalarkan idealisma perjuangan bahasa Melayu tetapi matan hadith yang dilontarkan ketika berhujah itu mestilah berlandaskan dalil dan nas yang sahih. Janganlah melontarkan sesuatu hadith itu secara semberono tanpa melihat kesahihannya terlebih dahulu. Ia adalah binasa yang akan mengheret seseorang itu ke kancah yang tidak baik kerana hadith tersebut berkesinambungan dengan akidah seseorang muslim itu, bahkan terdapat satu tajuk dalam kitab hadith mengenai `Larangan Membuat Hadith Palsu` dalam bab akidah. Dari Mughirah r.a katanya ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya berdusta berkenaan dengan ucapanku tidaklah sama dengan dusta terhadap ucapan orang lain. Siapa yang sengaja berdusta tentang hadithku, maka hendaklah dia menempati tempatnya di neraka.” (Riwayat Al-Bukhari). Umum tahu, Baginda s.a.w telahpun menyebut :`Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadith-hadith yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu(menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar)-(Riwayat Muslim dalam mukadimah sahihnya). Namun, hadith `Siapa Kenal Dirinya Maka Kenal Tuhannya" itu jika diterangkan kepalsuannya ia adalah dituntut sama sekali kata Ibn al-Salah (Wafat 643H) :"Tidak halal kepada sesiapa uang mengetahui hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya." -(Ibn al-salah, Ulum al-Hadith, m.s 98).no 1

Sumber : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Isi kandungan no 1 : Penulis Blog (Mohamad Safwan Bin Jamal)

No comments: