Thursday, June 25, 2009

Hadith Palsu Rejab, Syaaban

Artikel ini merupakan Himpunan penulisan Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin yang terdahulu dicadangkan untuk bacaan bersempena bulan Rejab.

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.
Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.

Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).
“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.

Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.”Mendengar Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.
Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).
Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).
Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.
Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.
Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).
Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”
Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.
Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.Ibadat Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.
Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.

Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”
Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.

Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Wednesday, June 17, 2009

Pengambilan Pelajar Ke China

Temuduga Terbuka :
Pengambilan Pelajar Ke China (Tajaan HPA - Peringkat Ijazah).
Temuduga akan dibuat, KHAMIS (25 Jun 2009 ) Mulai Jam 10.00 Pagi.
Di Dewan HPA SP, Bdr HPA Sungai Petani, Kedah.
Minima SPM, umur 18 - 22Tahun

Telefon : Puan Husni 04-9776805 / 0134308717
email: hr@hpa.com.my atau Fax:04-9772612

Sumber: Laman Web Rasmi HPA Industries Sdn Bhd
www.hpa.com.my

Sunday, June 14, 2009

Hadith: Siapa Kenal Dirinya Maka Kenal Tuhannya?

Jawapan:

من عرف نفسه فقد عرف ربه

Hadith ini dihukum sebagai palsu oleh para ulama hadith. Tidak boleh berpegang dengannya. Sesiapa yang membacanya tanpa diterangkan kepalsuannya, maka termasuk dalam golongan yang mengada-adakan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Ya, ramai yang berceramah serta berhujjah dengan menyebut bahawa perkataan tersebut adalah hadith Rasulullah s.a.w, sedangkan keputusan para ulama terhadap perkataan ini membuktikan ia hadith yang palsu, antaranya:

-Kata Ibn Taimiyyah hadith ini palsu.
-Kata al-Nawawi: Ianya tidak thabit.
-Kata Abu al-Muzaffar bin al-Sam`ani: “Ianya bukan daripada Rasulullah s.a.w.
-Kata al-Sayuti menyebut: “Hadith ini tidak sahih”..
-Kata Al-`Allamah al-Fairuz Abadi, penulis Al-Qamus: Ianya bukan daripada hadith-hadith Nabi sekalipun kebanyakan orang menganggapnya hadith Nabi s.a.w.. Tidak sahih sama sekali. Hanya diriwayatkan daripada Israiliyyat.”

(lihat: `Ali al-Qari, al-Masnu’ fi Ma’rifat al-Hadith al-Maudu’ المصنوع في معرفة الحديث الموضوع, m.s.189, Riyadh: Maktab al-Rusyd/ Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa` 2/262/ Nasir al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha`ifah wa Al-Maudu`ah, 1/166 / dan lain-lain.)

Sekali lagi saya lampirkan perkara ini adalah kerana terdapat penyalahgunaan dalam kalangan pejuang bahasa Melayu, bukanlah niat saya untuk mencalarkan idealisma perjuangan bahasa Melayu tetapi matan hadith yang dilontarkan ketika berhujah itu mestilah berlandaskan dalil dan nas yang sahih. Janganlah melontarkan sesuatu hadith itu secara semberono tanpa melihat kesahihannya terlebih dahulu. Ia adalah binasa yang akan mengheret seseorang itu ke kancah yang tidak baik kerana hadith tersebut berkesinambungan dengan akidah seseorang muslim itu, bahkan terdapat satu tajuk dalam kitab hadith mengenai `Larangan Membuat Hadith Palsu` dalam bab akidah. Dari Mughirah r.a katanya ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya berdusta berkenaan dengan ucapanku tidaklah sama dengan dusta terhadap ucapan orang lain. Siapa yang sengaja berdusta tentang hadithku, maka hendaklah dia menempati tempatnya di neraka.” (Riwayat Al-Bukhari). Umum tahu, Baginda s.a.w telahpun menyebut :`Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadith-hadith yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu(menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar)-(Riwayat Muslim dalam mukadimah sahihnya). Namun, hadith `Siapa Kenal Dirinya Maka Kenal Tuhannya" itu jika diterangkan kepalsuannya ia adalah dituntut sama sekali kata Ibn al-Salah (Wafat 643H) :"Tidak halal kepada sesiapa uang mengetahui hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya." -(Ibn al-salah, Ulum al-Hadith, m.s 98).no 1

Sumber : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Isi kandungan no 1 : Penulis Blog (Mohamad Safwan Bin Jamal)

Ulang Tahun ke-35 Hubungan Diplomatik China-Malaysia

Dari bandar Guangzhou menuju ke Ibu negara China, Beijing yang berjarakkan 2,200 kilometer telahpun saya lalui dengan menaiki kapal terbang selama 3 jam. Tujuan utama saya ke Beijing yang berpopulasikan 12,060,000 penduduk itu adalah untuk menghadiri `Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing 2009` yang bermula pada 31 Mei – 3 Jun 2009 lalu, bertempat di Beijing Foreign Studies University.

LATAR BELAKANG PERSIDANGAN DAN RENTETAN SEJARAH HUBUNGAN

Sedikit perkongsian mengenai latar belakang persidangan. Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing 2009 ini merupakan lanjutan beberapa persidangan yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Melayu China yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University.Tema Persidangan kali ini ialah “Jalinan Persefahaman antara Tamadun melalui Pengajian Melayu”, dengan kesedaran bahawa bidang ilmiah dan pendidikan perlu diberi perhatian yang sewajarnya sama dengan bidang lain seperti hubungan antarabangsa dan ekonomi dalam memupuk persefahaman dan keharmonian sejagat.Dengan kata lain, Persidangan Antarabangsa yang pertama ialah Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing pada 20-24 Mei 1996 yang bertemakan `Pengembangan Pengajian Melayu di Dunia``. Persidangan itu dianjurkan bersama oleh BFSU dan Dewan Bahasa serta Pustaka Malaysia, dengan kerjasama Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China(PPMC).

Persidangan yang kedua ialah Seminar Antarabangsa Budaya dan Pemikiran antara China dan Malaysia pada 9-10 Jun 2005, anjuran BFSU dan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia serta Research Center for Islamic History, Art and Culture (IRCICA). Persidangan yang kedua ini adalah lebih menumpukan pragmatik silang budaya yang berkaitkan Islam.

Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing 2009 ini dianjurkan sempena ulang tahun ke-35 termeterainya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China, iaitu pada 31 Mei 2009. Hubungan itu amat penting dalam konteks jalinan persefahaman antara dua tamadun besar, iaitu tamadun Melayu dan tamadun China yang telah mekar sejak berabad-abad yang lalu. Meskipun, pada 2 Jun 1924 yang lalu Tun Abdul Razak pernah memeteraikan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China. Namun, ketika kedua-dua negara ini darurat hubungan diplomatik tersebut telah terputus pada tahun 1948. Peristiwa ini berlaku disebabkan dasar British ketika itu yang menghalang tanah jajahannya mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan pemerintahan komunis China mahupun negara lain. Diantara sebab lain juga adalah sokongan padu yang diberikan Parti Komunis China terhadap Parti Komunis Malaya ketika pemberontakan di Tanah Melayu.

Pada tahun 1960, Malaysia telah mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Komunis termasuk Russia kecuali Republik Rakyat China. Hubungan itu diwujudkan adalah atas dasar keselamatan negara Malaysia. Dengan kata lain, semasa era pemerintahan Tun Abdul Razak, beliau telah mengubah dasar diplomatik. Demi mewujudkan kekebalan dan keutuhan semula hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Republik Rakyat China. Diantara dasar yang dipinda adalah soal keselamatan kerana usul ini mampu mempengaruhi China agar tidak menyokong PKM kerana China menginginkan keamanan sejagat yang bebas dari unsur ketidakselamatan dan ancaman terhadap negara itu. Selain itu, pindaan dasar dilakukan kerana berlaku dwi warganegara di Malaysia. Yakni, rakyat negara china yang menetap di Malaysia mempunyai 2 kerakyatan iaitu China dan Malaysia. Ini menimbulkan masalah bagi negara Malaysia. Setelah perbincangan dijalankan diantara Malaysia dan Republik Rakyat China. Malaysia mengisytiharkan rakyat china yang menetap di Malaysia diisytiharkan sebagai warganegara Malaysia tidak lagi mempunyai dua kerakyatan.

Usul yang dibincangkan dengan negara China juga ialah harapan Tun Abdul Razak agar China menjadikan Zon Asia ini sebagai zon kecuali atau kawasan selamat. Hubungan ini berlanjutan sehingga pada tahun 1969, usul yang dibincangkan dapat membebaskan ketidakselamatan dan ancaman dari negara lain. Bagi pengukuhan usul yang dibincangkan itu, Malaysia sebulat suara telah menyokong China bagi menduduki PBB dan memegang kerusi Majlis Keselamatan. Keberanian negara yang sekecil Malaysia itu, telah mengejutkan banyak negara kuasa besar. Hubungan diantara Malaysia dengan China berlanjutan sehingga ke tahun berikutnya, dalam mencapai matlamat bagi mewujudkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. Awalnya misi ini dikenali sebagai misi perdagangan, pada bulan ogos 1971 dan Januari 1972, Malaysia telah terlibat dalam aktiviti perdagangan di Canton Fair, di Guangzhou.

Seterusnya, bagi mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara itu. Kedutaan Malaysia ketika itu telah menjemput kedutaan China untuk menghadiri jamuan makan malam di Vietnam. Melalui jemputan itu keutuhan silaturahim antara Malaysia dan China pada ketika itu semakin terampil nilai persefahaman di antara kedua-dua negara itu. Disamping itu, pada bulan November 1972, Tan Sri Raja yang memimpin misi perdagangan itu telah meneliti syarat yang terdiri dari 3 perkara iaitu , Soal keselamatan, soal kenegaraan, dan Parti Komunis Malaya. Setelah penelitian dan perbincangan dibuat oleh kedua-dua buah negara itu, maka keputusan tersebut telah dipersetujui oleh kedua-dua kuasa besar itu. Namun begitu, setelah persetujuan dibuat bagi mewujudkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. Malaysia terlebih dahulu perlu ke negara jiran Asia untuk meminta restu mengenai keputusan yang dibuat. Setelah itu, kebaikan telah memihak kepada Malaysia untuk mewujudkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. Maka , termeterailah hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China pada 31 Mei 1974 yang kini sudahpun mencapai ulang tahun ke-35. Siapa sangka hubungan pada awalnya dilihat tidak mampu membawa kepada keutuhan hubungan diantara dua tamadun yang besar dan berbeza sekali pragmatik silang budayanya, yang kini telah terjalin hubungannya dengan begitu utuh dan kukuh sekali. Bahkan kebitaraanya juga begitu jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu pasca modenisme ini kian meluas digunakan sebagai bahasa kedua negara Republik Rakyat China.

LATAR BELAKANG PUSAT PENGAJIAN MELAYU CHINA

Kembali kita semula, mengenai persidangan yang diadakan pada 31 Mei – 1 Jun 2009. Umum tahu, Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University ditubuhkan secara rasminya pada 1 September 2005 dan dirasmikan oleh Y.A.B Dato` Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sebelumnya pusat itu dikenali sebagai Pusat Pengajian Bahasa Melayu yang ditubuhkan pada 20 Jun 1997 dan upacara perasmiannya disempurnakan bersama oleh Tuan Zhu Kaixuan, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pendidikan Republik Rakyat China dan Dato` Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Menteri Pendidikan Malaysia. Penubuhan pusat tersebut merupakan hasil persetujuan antara dua negara, iaitu Republik Rakyat China dan Malaysia untuk berganding bahu serta bekerjasama dalam bidang bahasa, persuratan dan pendidikan, sebagai usaha peningkatan program pembangunan pengajaran bahasa melayu yang telah dilaksanakan oleh BFSU sejak tahun 1961. Dengan mengintegritikan program pengajaran bahasa Melayu tersebut kepada program pengajian Melayu, Pusat Pengajian Melayu China secara rasminya menjadi pangkalan untuk kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu di Republik Rakyat China. Turut kerjasama bagi penubuhan Program Bahasa/Pengajian Melayu di Institusi pengajian tinggi yang lain di seluruh pelusuk negara. Pengarah Pusat Pengajian Melayu China ialah Prof Wu Zong Yu dan merupakan orang yang pertama memulakan program pengajaran bahasa Melayu di BSFU sejak tahun 1961 sehingga ke hari ini sumbangannya dalam memperluaskan pengajaran bahasa Melayu di China tidak mampu kita menilainya berdasarkan zahiriah.

KURSI PENGAJIAN MELAYU

Sedia maklum, Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Republik Rakyat China merupakan jawatan ilmiah kehormat yang ditubuhkan bersama antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China, sebagai pengiktirafan kepada peranan Beijing Foreign Studies University dalam menubuhkan dan mengembangkan program pengajian Melayu di Republik Rakyat China sejak tahun 1961. Kota Beijing merupakan tempat keempat yang memiliki Kursi Ilmiah dengan kerjasama Kerajaan Malaysia, sesudah Ohio University di Amerika Syarikat, Leiden University di Belanda dan Victoria University di New Zealand. Gagasan penubuhannya telah dicetuskan pada tahun 1996 dalam Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu anjuran BFSU dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia serta pada awal tahun 2007 secara rasminya Kursi itu telah ditubuhkan. Pada awal tahun 2008, Kursi itu mula berfungsi dengan pelantikan Prof. Dr Awang Sariyan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai penyandang pertama. Kursi ini antara lain berperanan memperkenalkan serta memperluaskan bidang-bidang baru dalam pengajian bahasa Melayu ( bahasa, sastera, budaya dan lain-lain), meningkatkan program ilmiah di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, disamping melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa / pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China.

Capaian Bagi Blogspot Gagal?

Amatlah mendukacitakan, capaian bagi blogspot gagal untuk dicapaikan(access). Sejak awal bulan Mei lagi, blogspot begitu sukar untuk dicapai, sebaliknya perlu menggunakan capaian tertentu bagi menembusi web blogspot. Bagi masyarakat dan pelajar luar negara di China sedia mengetahui capaian bagi blogspot dan Youtube gagal sama sekali untuk dicapai.Justeru, ia menyukarkan saya untuk muatkan artikel baru. Walaubagaimanapun, saya akan cuba muatkan artikel baru dari semasa ke semasa, meskipun gambar untuk dipaparkan bersama artikel terbaru gagal untuk ditampilkan.