Monday, May 4, 2009

Apakah kelebihan mendirikan solat?



HUBUNGAN ibadah solat secara rohaniah ditekankan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis serta buku-buku ilmiah. Betapa solat itu merupakan tiang agama dan diwajibkan ke atas umat Islam.

Bagaimanapun perkaitan ibadah solat secara saintifik seperti kesan pergerakan dalam setiap rakaat terhadap kesihatan tubuh badan masih terlalu sempit perbincangannya secara umum.

Hakikatnya, pada setiap pergerakan solat itu seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat awal serta tahiyat akhir, tersembunyi pelbagai misteri saintifik terhadap kesihatan.

Misteri itulah yang cuba dirungkaikan menerusi buku ini dengan memberi penekanan kepada komponen sains kesihatan seperti komposisi badan, denyutan jantung, pinggang, otak, otot dan disfungsi ereksi (mati pucuk).

Menariknya buku ini, ia terhasil daripada cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri yang mahu melihat sebuah kajian dijalankan bagi membongkar kelebihan solat dari sudut saintifik.

Kajian itu kemudiannya dijalankan oleh tiga orang saintis dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri.

Secara umumnya, badan manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu tisu aktif, tisu tulang, air dan lemak dengan setiap satunya mempunyai fungsi-fungsi tertentu di dalam badan.

Kajian mengenai kebaikan senaman terhadap komposisi badan telah banyak dilakukan dan pakar kesihatan juga sependapat bahawa senaman berat atau ringan tetapi dilakukan secara kerap dapat membakar lemak badan dan karbohidrat.

Kesan yang sama juga dibuktikan menerusi pergerakan solat yang diumpamakan seperti melakukan senaman ringan dan dibuktikan dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, tekanan, kolestrol dan penyakit lain.
Pergerakan rukuk misalnya, iaitu kedudukan tulang belakang yang lurus melintang atau 90 darjah dibuktikan dapat mengelakkan risiko penyakit tulang belakang dan penyakit arthritis. Ia disebabkan oleh pertambahan bendalir dalam sel yang terdapat pada sendi-sendi badan sekali gus melembutkan pergerakan sendi tersebut.

Kedudukan rukuk juga dapat melambatkan proses penuaan yang berlaku apabila meningkatnya tisu aktif selain menambah baik proses imbangan air dalam badan dan melancarkan fungsi buah pinggang.

Begitu juga tabiat membengkokkan ibu jari dalam kedudukan sujud dan duduk semasa tahiyat yang dapat meningkatkan kadar pembakaran lemak dan membuang lemak dalam badan, sekali gus merendahkan risiko penyakit jantung.

Keadaan sujud sesuai dengan tarikan graviti yang akan menyebabkan lebih banyak darah mengalir ke otak. Dinding dan urat-urat nadi otak dapat menerima lebih banyak darah berbanding keadaan biasa dan dengan bekalan oksigen mencukupi, otak akan menjadi lebih sihat dan cerdas.

Nilai kadar denyutan jantung nominal semasa sujud juga baik untuk kesihatan jantung khususnya dan kesihatan badan secara keseluruhannya. Posisi sujud dalam solat merangsang kadar denyutan jantung yang sihat dan tambahan kepada masa rehat.
Ia juga memanjangkan hayat jantung serta dapat menghindarkan pengecilan salur-salur darah yang membawa penyakit kepada arteriosklerosis.

Daripada sudut kesihatan seksual pula, solat telah dibuktikan mampu memberikan kesan positif kepada pesakit yang mengalami disfungsi ereksi. Kajian yang dilakukan menunjukkan pesakit yang pada mulanya langsung tidak mendapat ereksi ketika tidur mula menunjukkan perubahan dengan satu ereksi selepas proses intervensi solat selama sebulan.

Malah, kajian berasingan dalam tempoh yang sama juga menunjukkan bilangan ereksi pesakit, isipadu darah serta tempoh ereksi turut meningkat secara mendadak.

Menariknya, solat turut memberi kelebihan kesihatan lain iaitu ia mampu meningkatkan bendalir dalam sel (ICW) serta menurunkan rintangan dan bendalir luar sel (ECW). Secara saintifiknya, bendalir dalam sel yang tinggi akan melancarkan pengaliran darah dalam badan terutamanya ke saraf otak yang akan mendapat bekalan oksigen yang tinggi seterusnya memberi ketenangan secara fizikal dan emosi kepada pendiri solat.

Lebih daripada itu, solat juga dibuktikan mampu meningkatkan penumpuan dan daya ingatan. Menerusi solat, otak diberikan satu keadaan untuk bersedia dalam menghadapi tugas pemikiran yang mencabar. Malah, selepas melakukan solat, seseorang itu akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan.
Bagaimanapun perlu untuk diingatkan, kelebihan solat ke atas kesihatan seperti yang dibuktikan menerusi buku ini perlu menepati ciri-ciri tertentu dan sudah semestinya mengikut ajaran Islam yang sebenar. Ia termasuk mengerjakan solat lima waktu dalam sehari.

No comments: