Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w menyebutkan seorang lelaki daripada Bani Israil telah meminta bantuan kawannya agar memberinya hutang sebanyak 1000 Dinar. Lalu kawannya berkata, “Bawalah beberapa orang saksi agar mereka menyaksikan hutangmu ini.” Dia menjawab,”Cukuplah Allah sebagai saksi bagiku!” Orang itu berkata, “Datanglahkanlah seseorang yang menjamin pinjamanmu!” Peminjam itu hanya menjawab,” Memadailah Allah s.w.t. sebagai menjaminku.” Akhirnya kawan itu pun berkata,”Engkau benar!”
Cukuplah Allah Sebagai Penjamin
Maka wang itu diberikan kepadanya dengan janji dibayar balik dalam jangka waktu yang telah ditentukan. Tidak lama kemudian, orang yang berhutang itu pun berlayar untuk suatu keperluannya. Apabila sampai tempoh masa yang dijanjikan untuk membayar hutang, dia mencari kapal yang dapat menghantarnya ke tempat asal untuk menjelaskan hutangnya itu, tetapi gagal.
Maka dia pun mengambil sebatang kayu yang besar lantas menebuk lubang padanya. Dia memasukkan wang 1000 Dinar ke dalam lubang tersebut berserta surat kepada kawan yang memberi pinjaman itu. Lalu ia meratakan kembali kayu tersebut dan membaiki keadaannya seperti biasa.
Selanjutnya ia pergi ke laut seraya berkata,”Ya Allah, sungguh Engkau telah mengetahui bahawa aku meminjam wang kepada sahabatku sebanyak 1000 Dinar. Dia meminta kepadaku seorang penjamin maka aku katakana waktu itu,”Cukuplah Allah sebagai Penjamin., Dan dia memintaku seorang saksi, maka aku kata juga,”Cukuplah Allah sebagai Saksi.’ Kemudian dia pun berpuas hati dan yakin dengan janjiku itu. Aku telah berusaha keras mencari kapal untuk mengirimkan kepadanya wang yang telah aku pinjam, tetapi aku tidak mendapat kapal untuk menghantarku pulang… Kerana itu aku kirimkan wang itu kepada-Mu.” Lalu dia melemparnya ke laut dan pulang.
Allah Telah Menunaikan Hajatmu
Sahabat yang memberi hutang itu telah keluar menunggu kedatangan kapal yang disangkanya membawa peminjam itu. Dia pun keluar rumah untuk melihat-lihat barangkali ada kapal yang membawa wang untuknya. Tiba di tepi laut dia menemui sebatang kayu. Ia lalu mengambilnya untuk keperluan isterinya. Namun ketika ia membelah kayu tersebut ia mendapati 1000 Dinar yang dipinjamkan itu beserta sepucuk surat.
Selang beberapa waktu datanglah orang yang berhutang dengan membawa 1000 Dinar kepada sahabatnya. Beliau berkata,”Demi Allah, baru hari ini aku dapat menaiki kapal yang membawaku pulang setelah sekian lama ternanti-nanti rombongan untuk ku tumpangi kapalnya.” Orang yang memberinya hutang itu menjawab, “Bukankah engkau telah mengirimkan wang itu melalui sesuatu?” Orang yang meminjam itupun menjawab,” Memang aku telah memberitahu kepadamu bahawa aku tidak dapat datang sebelum ini.” Orang yang memberi wang itu berkata,”Sesungguhnya Allah telah menunaikan apa yang engkau kirimkan kepadaku disebalik kayu. Bawalah wang 1000 Dinarmu kembali, moga Allah melimpahimu dengan keberkatan.” (Riwayat Al-Bukhari, 1498).
No comments:
Post a Comment