Tuesday, December 30, 2008
Balasan Bagi Orang Yang Amanah Dan Jujur
Cukuplah Allah Sebagai Penjamin
Maka wang itu diberikan kepadanya dengan janji dibayar balik dalam jangka waktu yang telah ditentukan. Tidak lama kemudian, orang yang berhutang itu pun berlayar untuk suatu keperluannya. Apabila sampai tempoh masa yang dijanjikan untuk membayar hutang, dia mencari kapal yang dapat menghantarnya ke tempat asal untuk menjelaskan hutangnya itu, tetapi gagal.
Maka dia pun mengambil sebatang kayu yang besar lantas menebuk lubang padanya. Dia memasukkan wang 1000 Dinar ke dalam lubang tersebut berserta surat kepada kawan yang memberi pinjaman itu. Lalu ia meratakan kembali kayu tersebut dan membaiki keadaannya seperti biasa.
Selanjutnya ia pergi ke laut seraya berkata,”Ya Allah, sungguh Engkau telah mengetahui bahawa aku meminjam wang kepada sahabatku sebanyak 1000 Dinar. Dia meminta kepadaku seorang penjamin maka aku katakana waktu itu,”Cukuplah Allah sebagai Penjamin., Dan dia memintaku seorang saksi, maka aku kata juga,”Cukuplah Allah sebagai Saksi.’ Kemudian dia pun berpuas hati dan yakin dengan janjiku itu. Aku telah berusaha keras mencari kapal untuk mengirimkan kepadanya wang yang telah aku pinjam, tetapi aku tidak mendapat kapal untuk menghantarku pulang… Kerana itu aku kirimkan wang itu kepada-Mu.” Lalu dia melemparnya ke laut dan pulang.
Allah Telah Menunaikan Hajatmu
Sahabat yang memberi hutang itu telah keluar menunggu kedatangan kapal yang disangkanya membawa peminjam itu. Dia pun keluar rumah untuk melihat-lihat barangkali ada kapal yang membawa wang untuknya. Tiba di tepi laut dia menemui sebatang kayu. Ia lalu mengambilnya untuk keperluan isterinya. Namun ketika ia membelah kayu tersebut ia mendapati 1000 Dinar yang dipinjamkan itu beserta sepucuk surat.
Selang beberapa waktu datanglah orang yang berhutang dengan membawa 1000 Dinar kepada sahabatnya. Beliau berkata,”Demi Allah, baru hari ini aku dapat menaiki kapal yang membawaku pulang setelah sekian lama ternanti-nanti rombongan untuk ku tumpangi kapalnya.” Orang yang memberinya hutang itu menjawab, “Bukankah engkau telah mengirimkan wang itu melalui sesuatu?” Orang yang meminjam itupun menjawab,” Memang aku telah memberitahu kepadamu bahawa aku tidak dapat datang sebelum ini.” Orang yang memberi wang itu berkata,”Sesungguhnya Allah telah menunaikan apa yang engkau kirimkan kepadaku disebalik kayu. Bawalah wang 1000 Dinarmu kembali, moga Allah melimpahimu dengan keberkatan.” (Riwayat Al-Bukhari, 1498).
Thursday, December 25, 2008
Susur Galur Islam Di China
Namun begitu, menurut sumber rasmi mengenai bancian penduduk Islam di China hanya mencatatkan 40 juta umat Islam sahaja. Jumlah itu jelas sekali menimbulkan keraguan kerana jika di lihat dari segi majoriti penduduk di sebahagian besar wilayah di China seperti Xinjiang, Gansu, Hubel, Qinghai dan Yunnan umat Islamlah majoriti penduduknya. Meskipun jumlah sebenar penduduk Islam di China cuba di `rahsia dan selitkan di bawah permaidani bilik bancian` namun `Allah itu Maha Mengetahui`.
Di kupaskan pula mengenai suku etnik umat Islam di China ini, ia bukan sahaja hanya terbatas kepada suku etnik Hui, akan tetapi Uyghur, Kazak, Tatar, Salar, Dongxiang, Tajik, Uzbek dan Baoan serta tidak terkecuali `bangsa Han` yakni Cina Tulen yang beragama Islam, bahkan tidak dapat dipisahkan mereka dari membakar `colok` untuk setanggi. Namun begitu, perbuatan sedemikian tidaklah di halang dalam Islam selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Al-Quran dan Al-Sunnah.
Berbalik kepada suku etnik, tempat tinggal mereka adalah di kawasan barat laut China dan mempunyai hubungan serta pertalian darah dengan orang Arab, Turki, Afghanistan, Uzbeskistan, Tibet, Mongolia dan Indo Eropah. Wajah suku etnik Islam ini mempunyai perbezaan dengan wajah orang cina`. Perbezaan ini dapat dilihat berdasarkan wajah mereka yang agak kemerahan di pipinya, dan mempunyai hidung yang mancung. Namun demikian, `kecinaan` mereka tetap terpancar berdasarkan matanya yang sepet.
Sebahagian suku etnik ini mempunyai indentiti, budaya dan cara hidup mereka yang tersendiri. Bahkan terdapat beberapa tempat, yang berbahasa Arab dan menggunakannya sebagai bahasa pengantar. Tidak lupa juga suku etnik yang berbahasa Turki, malahan mereka juga menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar. Dengan bahasa yang digunakan itulah mereka berdakwah ke tempat ke suatu tempat dalam menyampaikan ajaran Islam dan dalam memastikan umat Islam dapat memahami dan menghayati intipati ajaran Islam yang sebenar.
Walaupun tidak ada catatan yang tepat mengenai tarikh sebenar kedatangan Islam ke China, namun rekod Dinasti Tang (618M) telah membuktikan tentang adanya jalinan hubungan diplomatic di antara pemerintahan China dengan pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin iaitu Saidina Uthman Bin Affan. Rekod itu juga menyebut mengenai di awal pemerintahan dinasti Tang, telah sampai ramai orang asing ke China di antaranya dari Madinah, Annam dan Kemboja. Terdapat tiga orang dari Madinah yang sampai di China dengan bersujud ke tanah tanpa sebarang berhala di hadapannya, mereka juga tidak memakan daging babi, tidak pula meminum arak dan tidak pula memakan daging yang tidak di sembelih oleh orang Islam. Mereka hidup dengan mengamalkan kebersihan diri, dan tempat tinggal.
Selanjutnya, mereka telah menetap di Canton(Guangzhou) dengan mendirikan penempatan yang menarik dan bersih serta menjadikan ruang yang sedia ada itu sebagai medium perniagaan. Bahkan mereka itu juga begitu taat dan setia kepada ketua mereka.Berbalik kepada istilah `orang asing`, mereka yang dimaksudkan adalah pedagang Arab, yang juga menetap di Canton dan membentuk satu komuniti yang cukup penting.
Pada zaman pemerintahan dinasti Tang, telah berlaku satu pemberontakan. Iaitu pemberontakan An Xi yang berlaku pada tahun 755 Masihi lalu menyebabkan negara China ketika itu menjadi kucar- kacir. Hasil daripada pemberontakan itu, An Xi telah berjaya menguasai beberapa kota besar dan wilayah sehinggakan memaksa Maharaja dinasti Tang ketika itu, yakni Tang Zuan Zong melarikan diri ke wilayah Sichuan. Selepas peristiwa itu, Tang Zuan Zong mulai sedar betapa pentingnya jalinan hubungan pemerintahannya dengan kerajaan Islam ketika itu. Oleh yang demikian, Tang Zuan Zong membuat keputusan untuk kembali ke Canton, untuk merampas semula kawasan pemerintahannya. Dengan mendapatkan bantuan ketenteraan dari kerajaan Abbasiyah. Sejurus itu, khalifah Abu Jaafar Abdullah Al-Mansur menghantar beberapa pasukan tentera berkudanya untuk merampas semula beberapa buah Bandar di kawasan pemerintahannya(dinasti Tang).
Sebagai balasan, kerajaan dinasti Tang telah membenarkan tentera-tentera Islam tinggal di kawasan pemerintahannya. Oleh itu, tentera Islam yang menetap di situ secara tidak langsung telah berkahwin dengan wanita-wanita tempatan. Maka lahirlah satu generasi baru Islam di China di mana keturunannya masih lagi wujud sehingga ke hari ini. Di bawah pemerintahan dinasti Tang, Islam berkembang pesat di China. Malah pada ketika itu China berada dalam keadaan aman dan damai, sekali gus menyebabkan negara itu menjadi tumpuan pusat perdagangan dan kegiatan ekonomi. Kemasukan para pedagang Arab ke China menambahkan lagi jumlah umat Islam. Di samping berniaga, para pedagang Arab juga giat menyebarkan agama Islam dan mengIslamkan penduduk tempatan. Fenomena ini juga berterusan dengan rancak pada zaman pemerintahan dinasti Song yang menggantikan dinasti Tang sekitar tahun 960 Masihi. Bahkan semasa pemerintahan dinasti Song (960M), jumlah pedagang Arab dan Parsi di China ketika itu begitu banyak sekali, sehingga membolehkan para pedagang menggunakan ruang yang ada untuk mendirikan masjid di Guang Zhou, sebuah wilayah yang terletak di selatan China.
Selain itu, terdapat satu masjid lagi yang tertua dan masih wujud di bandar Beijing iaitu masjid Nujie. Masjid tersebut juga masih lagi digunakan oleh penduduk untuk beribadat dan majlis ilmu. Masjid ini dibina pada tahun 996 Masihi ketika di bawah pemerintahan dinasti Song. Masjid ini juga banyak memaparkan ciri-ciri budaya dan kesenian Cina. Cuma yang membezakannya dengan monumen Cina ialah nukilan kaligrafi dan tulisan Arab yang memenuhi seluruh ruang pintu, dinding dan tiang masjid ini. Di samping itu, masjid Nujie juga banyak menyimpan khazanah yang berkaitan dengan titik permulaan perkembangan Islam di China, bahkan naskhah tulisan tangan dan dua makam ulama yang hidup pada zaman pemerintahan Kublai khan masih lagi wujud dan dijaga rapi sekali. Semasa orang Monggol memerintah negara China, kerajaannya dikenali sebagai dinasti Yuan yang wujud pada abad ke-13. Kerajaan itu telah mengamalkan dasar pemerintahan yang memihak kepada umat Islam.
Selain diberikan kebebasan untuk berniaga dan berdagang, beberapa umat Islam juga dilantik untuk memegang jawatan yang penting di dalam kerajaan. Pada tahun 1244 M, Kublai Khan telah melantik Abdul Rahman sebagai ketua kewangan dinastinya. Seterusnya, pada 1259 M Kublai Khan sekali lagi melantik dua orang umat Islam iaitu Syed Ajjal dan Umar Shamsuddin sebagai ketua kewangan dan Gabenor Yunnan bagi melancarkan proses pemerintahannya ketika itu. Syed Ajjal juga telah diberi gelaran sebagai `Sai Tien Che``. Perlantikan mereka juga membuktikan bahawa betapa tingginya sosio politk dan kedudukan umat Islam ketika zaman pemerintahan itu.
Setelah berlalunya satu abad itu, umat Islam juga menjadi tonggak utama dalam penubuhan dinasti Ming pada tahun 1368 Masihi. Setelah berjaya menubuhkan dinasti Ming ini. Maharaja dinasti Ming dengan lantasnya menubuhkan beberapa buah masjid sebagai balasan bantuan dan sumbangan yang diberikan oleh umat Islam ketika itu. Di samping itu, pada zaman pemerintahan dinasti Ming ini, agama Islam telah berkembang dengan pesat sekali. Malah,Maharaja Ming juga ada menulis satu watikah yang berisikan seribu satu pujian ke atas Baginda Rasulullah s.a.w. Tidak cukup dengan itu, dibina pula Masjid Huai sheng yang terletak di Guang Zhou, hanyalah semata-mata untuk mengingati Rasulullah s.a.w.
Di samping itu, dihantar pula beberapa utusan Islam ke negara-negara lain yang terletak di Asia Tenggara bagi melicinkan pentadbiran dan hubungan diplomatik di antara mereka. Salah seorang daripada utusan Islam yang dihantar oleh dinasti Ming ialah Laksamana Cheng Ho, beliau juga dikenali sebagai Zheng He dalam masyarakat cina, manakala nama Islam yang biasa digunakannya ialah Ma Sanbao atau Muhammad Ho. Walahualam
Saturday, December 13, 2008
Kenikmatan dunia lekakan manusia
Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my
Iman, ilmu, amal salih jadi benteng perkukuh diri elak mata hati jadi buta
URUSAN dunia memang menyibukkan hingga mampu membuat manusia lupa sama kepada alam persinggahan di kubur, kiamat, kebangkitan semula, timbangan penilaian amal, mahkamah Allah, titian sirat, telaga kawthar, syurga dan neraka yang akhirnya membawa hidup kekal abadi.
Mengapa manusia suka ditipu dan mahu tertipu? Apakah itu akan menyampaikan dirinya ke puncak kepuasan? Tidak, kerana ia diciptakan sebagai makhluk yang tidak boleh merasa puas. Jika begitu untuk apa dia bersungguh-sungguh memperjuangkan kepuasan duniawi sedangkan memang dia tidak akan mendapat kepuasan seratus peratus?
Seperti orang yang sangat bernafsu dengan air sirap ais di tengah panas terik. Sudah pun diminum air itu maka hilanglah sekejap rasa dahaga, tapi kemudian bosan dengan perisanya yang tidak bertukar, mulalah mencari air berperisa yang lain.
Dapat yang satu, mahu yang lain lagi. Maka sungguh benar perumpamaan dalam al-Quran, yang menyebut kenikmatan dunia sebenarnya permainan yang melekakan, tidak boleh memberi kepuasan sebenar kepada manusia. Kenikmatan sesungguhnya berada dalam syurga Allah.
Manusia dibiarkan bermain-main dengan segala kenikmatan yang tidak berharga di sisi Allah. Ramai orang bertanya, mengapa orang kafir diizin Tuhan menguasai dunia ini? Jawapannya sungguh mudah, kerana dunia ini langsung tidak berharga di sisi Allah.
Hatta ia tidak senilai bandingan sebelah sayap nyamuk. Jadi siapa saja boleh ambil dan berpuas dengan nikmat dunia yang menipu itu. Allah mencipta khazanah ini cuma untuk ujian kepada seluruh manusia siapakah yang berjaya melaluinya dengan keimanan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kelak orang kafir akan ditanya pada hari kiamat, bagaimana pendapatmu seandainya seluruh isi bumi ini menjadi emas dan menjadi milikmu, mahukah kamu menebus dosamu dengannya? Jawab orang kafir itu: Mahu! Maka dikatakan kepadanya: Dulu, sudah diminta kepadamu yang lebih ringan daripada itu, tetapi kamu tidak mahu." (Hadis riwayat Muslim)
Ya, dulu di dunia tidak disuruh manusia menyerahkan segala yang ada dalam akaun banknya untuk mendapat syurga. Jika ada 2.5 peratus saja yang menjadi hak fakir miskin itu dikeluar dengan penuh keimanan, ia amat berharga bagi dirinya. Itu pun turut berfaedah bagi rebat dan menghindari dirinya daripada tuntutan cukai.
Allah hanya menyuruh mereka beriman, beramal soleh dan jangan berbuat zalim, keji lagi nista seperti perangai syaitan semata-mata supaya mereka boleh menebus dan layak memperoleh upah syurga Allah di alam akhirat nanti.
Mengapa dengan sujud, kamu tidak mahu membeli syurga Allah, tetapi di akhirat nanti kamu hendak membelinya dengan seluruh hartamu? Itulah hakikat harta tidak membawa manfaat sedikitpun kepada pemiliknya.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Seorang hamba berkata: Hartaku, hartaku! Padahal hartanya yang sesungguhnya hanya tiga. Apa yang dimakan lalu habis. Apa yang dipakai lalu rosak. Apa yang disedekah dan ia tersimpan (untuk akhirat). Selain daripada ketiga-tiga itu lenyap atau ditinggalkan untuk orang lain (para waris)." (Hadis riwayat Muslim)
Sungguh, amat memilukan orang tua yang masih bergelut merebut dunia dengan cara batil, padahal malaikat maut sudah pun dekat mengintainya setiap masa. Sedangkan seorang sahabat Rasulullah SAW, Muaz bin Jabal ketika sampai saat sakaratul mautnya beliau berkata: "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa aku tidak mencintai hidup semata-mata untuk menanam pokok dan menghiasi taman yang cantik, atau untuk mengalirkan sungai atau untuk membina istana yang tersergam untuk didiami. Tetapi aku mencintai hidup ini hanya untuk tiga perkara, berpuasa di siang hari, menghidupkan ibadah di malam hari dan berkumpul dengan para ulama untuk mengingati-Mu."
Imam Muslim juga meriwayatkan bahawa ketika dekat kematian di sisi sahabat Rasulullah SAW, panglima perang yang agung, 'Amru bin al-'Ash, beliau berkata: "Sesungguhnya aku sudah melalui tiga jalan dalam kehidupanku. Semasa jahiliah aku tidak mengenal Islam dan orang yang paling kubenci ialah Rasulullah SAW. Seandainya aku mati pada saat itu, pastilah aku termasuk penghuni neraka jahanam. Kemudian aku memeluk Islam, Rasulullah SAW menggenggam tanganku dan bersabda: Mengapakah kamu wahai Amru? Aku menjawab: Aku mahu syarat supaya Allah mengampuni seluruh dosaku. Rasulullah SAW tersenyum sambil bersabda: Tidakkah kamu sudah mengetahui wahai Amru, taubat menghapus apa saja dosa yang ada sebelum ini dan Islam menutup kesalahan apa saja yang pernah dilakukan sebelum ini?
Saidina 'Amru berkata: Lalu aku pun masuk Islam, demi Allah sejak saat itu orang yang paling aku cintai adalah Rasulullah SAW. Demi Allah jika kalian meminta kepadaku sekarang untuk menceritakan sifat baginda, sungguh aku tidak dapat menggambarkannya, aku tidak sanggup bersemuka dengan Rasulullah SAW kerana rasa hormat dan wibawa Baginda SAW. Jika aku mati saat itu, besar kemungkinan aku akan masuk syurga. Tetapi amat sayang, aku tidak mati bersama Rasulullah SAW. Kemudian berlalulah masa dan dunia telah mempermainkan diriku. Oleh itu, aku tidak tahu sekarang, sama ada aku akan dimasukkan ke syurga atau dicampakkan ke dalam neraka. Tetapi aku masih mempunyai satu kalimah untuk pertemuanku dengan Tuhanku iaitu: Lailaha Illallah, Muhammadur Rasulullah." Akhirnya wafatlah Saidina 'Amru dengan kalimah itu.
Andai saja kita mampu mengingati sejarah hidup yang lalu untuk memperbaiki kesilapan dan mengganti kejahatan dengan amal soleh, nescaya tidak akan ada penyesalan pada akhirnya. Namun sengatan dunia begitu kuat memabukkan, membutakan mata hati, mengeruhkan akal sihat, meracuni kesucian hati sampai ke mati.
Apakah usaha paling efektif untuk melemahkan sengatan dunia? Pertama ialah mengambil iktibar daripada sejarah kehidupan orang yang lalai. Mereka yang melalui kematian dengan cara suul khatimah.
Melihat kematian di setiap kesibukan yang kita lalui memang tidak mudah, adakah pasti hirupan nafas pertama akan bersambung ke nafas kedua? Sedangkan malaikat maut berada dekat. Lalu bagaimanakah keadaan orang yang lalai sekarang di dalam kuburnya? Mesti mereka merayu dengan tangisan yang tidak pernah berhenti hingga ke hari kiamat.
Firman Allah yang bermaksud: "(Demikianlah keadaan orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) supaya aku berbuat amal soleh terhadap yang sudah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan." (Surah Al-Mukminun, ayat 99-100)
Kemudian yang paling penting ialah senjata dan benteng kukuh dalam diri supaya sengatan dunia tidak mematikan hati. Senjata itu ialah iman, ilmu dan amal soleh. Ketiga-tiganya adalah kekuatan sebenar seorang hamba.
Tidak akan bermanfaat harta dan kebesaran melainkan jika bersanding dengan iman, ilmu dan amal soleh. Tetapi sayang, ramai yang sudah memiliki tiga kekuatan itu dan terlalu cepat merasa puas hati. Sehingga usaha untuk memperbaiki iman, ilmu dan amal menjadi terbantut.
Monday, December 1, 2008
Radix Sebagai Pemecah Batu Karang
Aroma Yang Sebenar
Salah satu bahan kimia yang sering dimasukkan ke dalam ramuan kopi ialah ‘’bahan aromatic kopi/ginseng’’ yang bersifat sintetik /tiruan. Tujuan campuran aroma tersebut hanyalah semata-mata untuk menarik selera pengguna. Pada hari ini, amatlah dukacita kerana ada pengeluar yang cuba `mengklonkan @ meniru` kopi Radix di atas dasar keuntungan dan cuba `mensabotaj` perjuangan HPA. Namun begitu, Firman Allah Swt: “ Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang yang berbuat baik” (Al-Araf : 56) . Menceritakan mengenai aroma, dapat di buktikan bagi pengamal kopi (bukan Radix), apabila si peminum itu membuang air kecil pasti air kencingnya itu bau seperti kopi juga. Ini menunjukkan aroma tersebut adalah sintetik. Kesan pengamalan itu juga akan menyebabkan seseorang itu mudah lenguh di bahagian pinggang malah lama-kelamaan akan terhasil batu karang di dalam ginjal tersebut.
Aroma Radix adalah aroma yang sebenar kerana ia bersifat natural(alami) dan bebas dari sebarang bahan kimia kerana aroma Radix diperoleh daripada Herba Teja Lawang( cinnamomum iners). Di samping itu, herba tersebut berfungsi untuk menyembuhkan demam,penawar racun, sakit-sakit di bahagian tulang, menambahkan tenaga badan, merawat sakit di bahagian tulang lumbar, asma, batuk, sembelit, mampu membuang angin yang lebih dalam badan, serta aroma tersebut menolong pencernaan makanan.(Bahagian farmakologi, Faizah Mohd Nanyan ,Sarjana Sains (Bioteknologi Mikrob) USM. Insya Allah.