Thursday, May 13, 2010

Makanan Sichuan Yang Menarik

Provinsi Sichuan disifatkan sebagai pusat masakan yang sedap di negeri China. Masakan Sichuan, yang merupakan satu daripada "Lapan Masakan China", amat disukai oleh orang ramai, bukan hanya di Sichuan, malah di seluruh negara. Masakan Sichuan rasanya sedap, pedas dan kebas. Mengapa orang Sichuan gemar rasa pedas dan berangin? Pakar budaya rakyat dari Universiti Sichuan, Profesor Mao Jianhua menjelaskan bahawa ini ada kaitannya dengan sejarah dan tempat di provinsi ini.


(Ma Po Tau fu)

"Oleh sebab Sichuan terletak di kawasan lembangan, cuaca yang agak lembap di wilayah tersebut menyebabkan banyak orang kena penyakit reumatisme. Lada dan cili pula dikatakan mempunyai fungsi menghilangkan kelembapan dalam tubuh manusia. Orang tempatan Sichuan, pada mulanya makan lada dan cili hanya untuk menghapuskan kelembapan dalam badan, tetapi lama kelamaan, mereka menjadi sangat gemar akan rasa ini." Kata Mao.


(Lai Tangyuan)

Menurut statistik kasar, ada lebih 4,000 jenis lauk dalam masakan Sichuan, antaranya, Ayam Kung Pao, Itik Salai, Ma Po Taufu pula dikenali sebagai salah satu masakan Sichuan yang paling terkenal. Taufu yang berwarna putih, dimasak dengan bawang serta daging lembu yang dipotong nipis-nipis, kelihatan sangat enak.

Encik Wang Bing ialah seorang pengurus restoran di bandar Chengdu, ibu kota provinsi Sichuan. Beliau mengatakan bahawa Ma Po Taufu mempunyai sejarah lebih seratus tahun. Terdapat juga satu cerita tentang asal usul masakan ini. Kata beliau:

"Masakan ini berasal dari sebuah restoran yang kecil di utara Chengdu. Pemilik restoran itu dari keluarga Chen, dan isterinya ada banyak bintik pada mukanya. 'Ma' pula bermaksud bintik. Maka orang ramai memanggil isteri Chen itu 'Chen Ma Po', yang bermaksud isteri Chen yang mempunyai banyak bintik. Dia sangat pandai memasak taufu. Maka masakan ini dinamakan Ma Po Taufu."


(Long Chao Shou)

Seperti Ma Po Taufu, steamboat juga disukai oleh orang ramai di seluruh negeri. Menurut kata orang Sichuan, mereka yang tidak mencuba steamboat di Sichuan, sebenarnya tidak melawat ke tempat ini. Ini mencerminkan betapa gemarnya orang Sichuan kepada steamboat. Steamboat Sichuan rasanya berlainan dengan steamboat Beijing. Kuah steamboat Sichuan ditambah dengan beberapa banyak jenis rempah seperti cili, lada dam minyak dar lemak lembu dan rasanya amat pedas dan kebas. Hampir semua jenis makanan daripada daging dan sayur hinggalah hasil laut dan lain-lain boleh menjadi bahan steamboat yang sedap.


(Steamboat Sichuan)

Cik Zuo Yanmei yang bekerja di sebuah restoran steamboat di bandar Chengdu memberitahu kami:

"Steamboat Sichuan terkenal dengan rasanya yang sedap dan baik untuk kesihatan. Steamboat ada dua jenis, iaitu yang pedas dan yang tidak pedas. Orang Sichuan suka menambah daging lembu, ayam, cendawan dan lain-lain dalam steamboat ini."

Makanan ringan Sichuan juga disukai oleh orang ramai. Antaranya Lai Tang Yuan (kuih pulut yang berinti), Long Chao Shou (wantan), Zhong Shui Jiao (Jiaozi), Dan Dan Mian (mi), San Da Pao dan lain-lain.

Makanan ringan Sichuan bukan sekadar makanan sahaja, ia juga merupakan kebudayaan. Kebanyakan makanan ini juga mempunyai nama yang amat menarik, seperti San Da Pao. Profesor Mao Jianhua menjelaskan bahawa makanan ini ialah sejeniskuih pulut yang ditambah air gula melaka. Mengapa ia dipanggil San Da Pao?


(cara membuat `San Da Pao`)

(San Da Pao)

Beliau menerangkan:"San Da Pao ialah kuih berbentuk bulat yang diperbuat daripada tepung pulut. Apabila kuih ini dilontar kuat-kuat di atas piring tembaga, kedengaranlah bunyi seperti tembakan meriam. Maka tiga biji kuih ini disebut 'San Da Pao' yang bermaksud tiga tembakan meriam."

Kebanyakan orang menganggap bahawa masakan Chengdu dan Chongqing merupakan antara masakan yang paling sedap dan tipikal dalam masakan Sichuan. Namun, makanan di tempat lain juga beraneka jenis dan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri, misalnya bandar Yibin di selatan Sichuan yang terkenal dengan pelbagai jenis masakan mi.


(Ran Mian, Mee Bakar Yibin)

Pegawai Biro Pelancongan Yibin, Puan Xiong Longfang memaklumkan bahawa terdapat berpuluh-puluh jenis masakan mi di bandar Yibin. Antaranya, yang paling terkenal ialah Ran Mian yang bermaksud "mi bakar". Kata beliau:

"Ran Mian mempunyai keistimewaannya sendiri. Mengapa mi ini digelar mi bakar? Ini kerana rasanya sangat pedas hingga membakar. Mi yang diperbuat daripada tepung dan kacang serta sayur ini juga boleh dibakar."

Selain penduduk Sichuan dan orang China, pelancong asing juga ramai yang berminat, malah amat suka akan masakan Sichuan. Encik Choi Kwang-sek yang berasal dari Republik Korea telah melancong ke Sichuan baru-baru ini.

"Saya terpesona dengan pemandangan alam semula jadi yang indah di Sichuan. Selain itu, makanan Sichuan yang enak itu juga meninggalkan kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Rasanya pedas dan saya amat suka makanan pedas. Saya dan kawan-kawan saya telah makan Ma Po Taufu dan kami berasa sangat puas." katanya.

No comments: