Tuesday, September 9, 2008

Ramadhan Di Guangzhou China

Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah S.W.T kerana memberi peluang dan ruang kepada saya menyambut bulan Ramadhan Al- Mubarak pada tahun 2008 ini di China. Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai sambutan bulan yang barokah ini di sini.

Sambutan bulan Ramadhan di Guangzhou ini seperti Malaysia juga, berjemaah tarawih dan berbuka puasa seperti biasa. Namun begitu, terdapat beberapa perbezaan dari segi bacaan dan penyebutan ayat bacaanya, barangkali jika Tuan / Puan bersolat di sini akan `tertawa` dalam hati apabila mendengar bacaan dan sebutan Imamnya ketika solat. Ini adalah kerana kebanyakkan para imam dan makmuman di sini berbahasa tempatan yakni Bahasa Cina. Oleh yang demikian, berlakulah ketidaktepatan penyebutan dan bacaan mereka dalam bahasa Arab. Justeru, ia bukanlah satu isu yang penting, sebaliknya ini menunjukkan bahawa ketekunan dan kerajinan mereka dalam menuntut Ilmu naqli.

Umum tahu, masyarakat Islam di China ini majoritinya adalah bermazhab Hanafi. Oleh itu, akan berlaku beberapa pendapat yang berlainan di antara yang bermazhab hanafi dan syafi`e. Di antaranya, dari segi kebersihan, jika mazhab syafi`e apabila pinggan makanan itu mempunyai bekas daging babi, maka pinggan tersebut perlu di samak dengan tanah terlebih dahulu. Justeru, barulah pinggan tersebut boleh digunakan, akan tetapi dalam mazhab hanafi mempunyai pandangan yang agak longgar lalu pinggan tersebut tidak perlu di samak tetapi dengan hanya mencucinya sehingga bersih dari zahirnya. Meskipun terdapat beberapa pandangan yang berbeza di antara kedua-dua Imam tersebut, kita perlu bersyukur bahawa perbezaan mazhab dan pandangan itu adalah satu rahmat dari Allah azza wa jala. Dari segi bacaan Imam ketika solat pula ia agak pantas berbanding dengan para Imam di Malaysia bahkan baru saja saya mula membaca tahiyat akhir, Imam tersebut sudahpun memberi salam. Kadang-kadang itu saya seakan lupa mengenai berapa rakaat saya dirikan solat. Itulah sedikit sebanyak daripada saya mengenai bulan Ramadhan Di Guangzhou, China. Bersama dengan saya lagi mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa di China. Insya Allah. Wasalam.

No comments: