Tuesday, January 11, 2011

Bangsa Eropah Perlu Dikenali

Penulis : Tun Dr Mahathir Bin Mohamad
Tarikh : 19-06-2003

1.Kita perlu kenal baik-baik bangsa Eropah kerana kehidupan kita, nasib kita akan ditentukan oleh cara kita berinteraksi dengan bangsa- bangsa Eropah dan keturunan mereka. Di sini bangsa Eropah termasuk mereka yang berhijrah dan mendirikan negara-negara baru di benua Amerika, Australia dan New Zealand. Mereka biasanya dipanggil orang putih, orang kulit putih, orang Barat. Tetapi ramai yang berkulit putih, ramai yang tinggal di Barat yang bukan daripada bangsa Eropah. Bangsa Eropah adalah bangsa negara- negara Eropah. Sebab itu saya panggil mereka bangsa Eropah, bukan pun Mat Salleh. Kata bangsa Inggeris "call a spade a spade". Panggil sesuatu dengan nama yang tepat. Oleh itu dalam ucapan ini saya panggil bangsa Eropah, bangsa Eropah.

2.Saya bukan anti bangsa Eropah. Saya mempunyai ramai kawan dan kenalan daripada bangsa Eropah. Saya berasa serba salah hendak menegur bangsa Eropah kerana kenalan saya tentu akan tersinggung. Negara Eropah yang berbaik dengan kita juga akan tersinggung. Sudah tentu media mereka akan mengecam saya sebagai seorang "racist". Tetapi saya anggap pendedahan akan siapa dianya orang Eropah sudah menjadi begitu penting sehingga risiko menjadi mangsa perlu diambil.

3. Bangsa-bangsa Eropah mempunyai asal dan budaya yang sama, iaitu berteraskan tamadun Greek dan Roma. Mereka amat pintar, berani dan mempunyai sifat ingin tahu atau "curiousity" yang kuat. Mereka tidak pernah berpuas hati dengan apa-apa yang ada pada mereka melainkan mereka ingin memperbaiki segala-gala supaya menjadi lebih baik, lebih produktif dan berkesan untuk apa juga matlamatnya. Tidak ada suatu apa, samada alatan, sistem atau ideologi yang tidak diperbaiki sepanjang masa.

4. Kadang-kadang dalam keghairahan mereka untuk memperbaiki keadaan atau barangan yang sedia ada, mereka merosakkan dan mendatangkan hasil yang buruk. Namun mereka tidak serik dan mereka terus mencuba memperbaiki segala apa yang ada pada mereka ataupun pada orang lain.

5. Malangnya mereka juga tamak dan suka merampas wilayah dan hak orang lain. Sejarah mereka selama lebih 2000 tahun memperlihatkan peperangan yang tidak habis-habis untuk merebut wilayah dan memperluaskan kuasa masing-masing di dunia.

6. Pada mulanya rebutan dan perang terhad kepada wilayah Eropah sahaja. Tetapi apabila mereka menguasai ilmu pelayaran jauh, mereka perluaskan rebutan dan peperangan mereka ke seluruh dunia. Orang Cina, Arab dan India sampai ke Asia Tenggara lebih awal tetapi tidak berperang dan menakluk wilayah ini. Tetapi apabila sampai sahaja bangsa-bangsa Eropah maka wilayah Asia Tenggara seperti juga dengan wilayah lain di Afrika, Amerika Utara dan Selatan, Australia dan Kepulauan Pasifik, dicerobohi, diserang dan diperangi untuk menjadikan wilayah-wilayah ini milik mereka, merampas segala kekayaan dan menindas, menghina dan melakukan "genocide".

7. Oleh kerana mereka suka berperang dan merebut wilayah orang lain, tumpuan mereka ialah kepada ciptaan dan pembuatan senjata yang boleh membunuh dengan lebih efisien. Tidak ada satu alatan yang tidak diubah untuk menjadi senjata untuk membunuh, untuk memberi mereka kemenangan dalam peperangan.

8. Orang Cina mencipta bahan letupan dan menggunanya untuk membuat bising supaya naga tidak dapat menelan bulan atau matahari semasa gerhana. Atau hanya sebagai mercun semasa perayaan. Tetapi apabila bangsa Eropah menemui bahan letupan Cina, perkara yang pertama yang difikirkan ialah bagaimana ia boleh digunakan untuk melontar peluru lebih jauh. Sejak itu berbagai-bagai alatan dicipta untuk membunuh dari jarak jauh. Meriam disusuli dengan bom, roket, "missile", "nuclear warheads" dan bermacam-macam lagi. Hari ini jumlah senjata nuklear mereka boleh menghancurkan seluruh dunia, tetapi masih mereka tidak puas hati. Masih lagi penyelidikan dibuat untuk "warhead" yang lebih kuat, lebih berkesan. Dalam sejarah dunia hanya bangsa Eropah sahaja yang pernah menggugur bom nuklear yang menghancurkan kotaraya dengan jumlah kematian serentak yang terbesar yang pernah berlaku daripada hanya dua butir bom.

9. Apabila mereka cipta kereta bermotor, maka tidak lama selepas itu, kereta kebal pun menjelma. Kapal terbang menghasilkan pesawat pengebom dan pejuang. Kapal untuk dagangan menjadi kapal perang dan kapal selam. Dan semua ini ditingkatkan keberkesanannya sepanjang masa untuk membunuh manusia dengan lebih efisien.

10. Hari ini berbilion-bilion dolar dibelanja untuk mencipta senjata-senjata yang lebih canggih, membekalkan angkatan perang mereka dengan senjata- senjata ini, melatih pasukan cara berperang, membuat segala persediaan untuk berperang walaupun tidak ada musuh semasa dan di masa depan yang mengancam mereka. Dan mereka telah membuktikan bahawa mereka sanggup mencipta sebab palsu untuk berperang dan membunuh kanak- kanak, orang tua, orang sakit dan siapa sahaja dan menganggap semua orang ini sebagai "collateral" yang tidak dibenar menghalang pencapaian hasrat mereka.

11. Berperang dan kehandalan membunuh menjadi sesuatu yang mulia bagi bangsa Eropah. Jaguh perang diberi gelaran "knights". Sekejap-sekejap mereka ini akan melancar serangan untuk memperluaskan kawasan Tuan atau "Lord" mereka. Sebab itu sejak dahulu lagi kampung dan bandar mereka dikelilingi tembok batu dan longkang yang luas.

12. Bagi mereka segala masalah mestilah diselesaikan melalui ujian kekuatan. Siapa yang menang dialah yang benar dan dialah yang patut mengambil semua untuk dirinya. Yang kalah hilang semua. Demikian jugalah cara mereka menyelesaikan pertikaian di antara pekerja dengan majikan. Siapa yang menang dalam tindakan perusahaan dialah yang mendapat semuanya.

13. Sejarah Eropah adalah sejarah berperang, sejarah menguji kekuatan. Apabila mereka bertemu dengan penduduk di luar Eropah, di Afrika, Amerika dan Asia, mereka terus berperang untuk menawan wilayah-wilayah orang ini, dan mendirikan negara-negara baru dan empayar mereka.

14. Tidak ada belas kasihan yang ditunjuk oleh mereka. Bangsa tempatan dihalau keluar dan dibunuh dengan sewenang-wenangnya. Banyaklah suku kaum pupus hasil serangan mereka. "Genocide" bagi mereka adalah "final solution", penyelesaian terakhir.

15. Sepatutnya mereka mempunyai perasaan belas kasihan kepada orang asli tempatan kerana mereka sendiri telah dihalau keluar dari negara mereka di Eropah. Tetapi apabila mereka sampai ke Dunia Baru, "New World" kepada mereka, dunia lama bagi penduduk tempatan, mereka menghalau orang tempatan dari tanah mereka dan merampas harta benda penduduk. Sesiapa yang mempertahankan wilayah diperangi, dibunuh atau diperhambakan.

16. Dalam percubaan merebut seberapa besar wilayah untuk dijadikan tanah takluk mereka, bangsa-bangsa Eropah berperang sesama sendiri. Kerapkali penduduk tempatan dikerah untuk mengambil bahagian dalam peperangan dan rompakan mereka.

17. Permusuhan antara mereka meningkat kerana masing- masing ingin menakluk wilayah yang lebih besar, mendirikan empayar, menjadi kuasa utama di dunia. Kerana ini mereka melancar perang secara besar-besaran yang melibatkan seluruh dunia.

18. Perang Dunia Pertama dilancarkan pada tahun 1914 dan tamat pada 1918 setelah lebih daripada 20 juta rakyat mereka dan askar dari tanah takluk mereka terbunuh dan berbilion-bilion dolar harta dimusnahkan.

19. Tetapi mereka belum puas hati. Hanya 20 tahun selepas Perang Dunia Pertama, mereka berperang lagi dalam Perang Dunia Kedua. Kali ini keganasan bangsa Eropah meningkat ke puncak. Lima puluh juta lebih daripada rakyat mereka dan rakyat empayar mereka terbunuh. Mereka menggunakan "carpet bombing" untuk meranapkan bandar-bandar dengan semua penduduk.

20. Akhir sekali mereka menggugurkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki, negara Jepun, negara orang bukan Eropah. Walaupun bom nuklear ini memberi kemenangan kepada mereka tetapi bangsa-bangsa Eropah terkejut dengan kuasa bom nuklear dan "radiation" darinya yang boleh membunuh mangsa bertahun-tahun selepas bom digugurkan.

21. Bangsa-bangsa Eropah berasa amat takut kalau-kalau perang nuklear di antara mereka sendiri berlaku dan bangsa mereka terbunuh dan negara-negara mereka hancur kerana penggunaan senjata nuklear. Kerana ketakutan ini mereka membuat perjanjian antarabangsa bagi mengawal pengeluaran, ujian dan penggunaan bahan letupan nuklear dalam peperangan.

22. Tetapi beberapa daripada mereka juga yang tidak menandatangani perjanjian "Nuclear Non-Proliferation Treaty". Mereka terus mengkaji selidik, mencipta, dan menguji jenis letupan nuklear yang baru untuk bom dan `warhead` lain.

23. Bangsa Eropah amat benci kepada orang Yahudi sejak sebelum mereka beragama Kristian lagi. Selepas menjadi Kristian mereka salahkan orang Yahudi kerana membocor kegiatan Nabi Isa kepada pemerintah Rom yang menyebabkan Nabi Isa mati disalib.

24. Oleh kerana ini, sehingga lepas Perang Dunia Kedua, orang Eropah menindas orang Yahudi yang berhijrah ke negara-negara mereka. Tiap tahun diadakan "Pogrom" dan "Inquisition" dengan pembunuhan orang Yahudi beramai-ramai. Percubaan untuk menyelesaikan masalah Yahudi memuncak semasa Perang Dunia Kedua dengan pembunuhan enam juta orang Yahudi.

25. Tetapi selepas Perang Dunia Kedua orang Yahudi masih ada di Eropah. Untuk mengeluarkan orang Yahudi dari Eropah, mereka merampas wilayah Palestin untuk dijadikan negara Israel. Bukan sahaja tanah, rumah dan ladang orang Arab Palestin yang dirampas tetapi orang Arab dihalau keluar dari wilayah mereka yang dijadikan Israel.

26. Sejak itu Asia Barat tidak pernah aman. Percubaan orang Palestin untuk mendapat balik wilayah mereka ditentang oleh orang Eropah. Sebaliknya mereka menyokong Israel walaupun Israel merampas tanah Palestin di luar Israel dan membunuh rakyat Palestin.

27. Lontaran batu oleh kanak-kanak Palestin dibalas dengan tentera Israel menembak mati kanak-kanak yang membaling batu ini. Namun orang Eropah tidak mengutuk Israel. Tetapi serangan berani mati oleh rakyat Palestin dikutuk oleh mereka.

28. Serangan pada 11 September ke atas Amerika Syarikat yang menyokong Israel dijadikan alasan bagi orang Anglo-Saxon Eropah kembali ganas dan bengis.

29. Strategi mereka melawan keganasan ialah dengan melancarkan serangan terhadap negara-negara Islam dan orang Islam, sama ada yang bersalah atau yang tidak bersalah.

30. Dengan membuat bermacam-macam tuduhan yang tidak berasas, mereka melancarkan peperangan ke atas negara Islam, menggunakan senjata pemusnah mereka, membunuh orang awam, dan menghancurkan bandar-bandar.

31. Amerika dan Britain tidak menghiraukan langsung kecaman dunia terhadap tindakan mereka. Tentangan oleh bangsa mereka sendiri pun tidak dipedulikan. Mereka ingin menunjuk kepada dunia bahawa mereka kuat dan sesiapa yang mencabar mereka akan diserang oleh tentera mereka habis-habisan.

32. Apa yang saya katakan di sini semuanya benar. Ia bukan rekaan yang dibuat kerana ingin menakutkan kita, supaya kita mengambil berat terhadap amaran akan bahaya yang dihadapi. Sekali lagi ingin saya ulangi bahawa saya bukan anti bangsa Eropah bukan "racist". Bukan niat saya untuk menimbulkan kebencian kepada bangsa Eropah. Tetapi amatlah penting kita kenali bangsa ini dan sejarah tindak-tanduk mereka kerana mereka akan memainkan peranan yang besar dalam kehidupan kita, terhadap bangsa kita, agama kita dan negara kita. Kegagalan kita mengenali mereka akan menyukarkan persediaan dan strategi kita untuk menyelamatkan diri kita.

33. Perjuangan melawan Malayan Union dan merebut Kemerdekaan sudah berlalu. Kita telah mencatat kejayaan bukan sahaja dalam memerintah negara kita yang merdeka tetapi membangunkannya dengan begitu pesat. Ramai daripada kita yang berpendapat bahawa sekali merdeka selama-lamanya merdeka. Justeru itu kita tidak perlu khuatir akan perkembangan di luar negara kita.

34. Tetapi hari ini, bahaya yang dihadapi oleh kita adalah lebih besar daripada yang kita hadapi pada pertengahan abad ke-20 di waktu mana percubaan dibuat oleh British untuk merampas tanah Melayu dan mendirikan Malayan Union.

Wednesday, November 3, 2010

HPA mahu buka pasar raya besar

Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my

Rujukan : http://www.hmetro.com.my/articles/HPAmahubukapasarrayabesar/Article

HPA Industries Sdn Bhd (HPA), syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) milik Bumiputera terbesar di negara ini, menyasarkan mempunyai pasar raya besar berkonsep produk halal dan suci keluaran orang Islam sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Keyakinan itu bersandarkan HPA yang juga MLM berkonsep syariah bermula daripada jualan daripada rumah ke rumah sebelum dinaikkan taraf kepada cawangan, halal mart dan terbaru HPA Halal Mall yang dilancarkan pada 2 Oktober lalu.

Majlis pelancaran HPA Halal Mall itu bersamaan dengan perasmian mercu tanda HPA dikenali HPA International Center (HPAIC) yang bernilai hampir RM60 juta di Seksyen 13, Shah Alam Selangor pada hari yang sama, disempurnakan Pengarah Urusan 1 HPA, Ismail Ahmad bersama lebih 2,000 Pengarah Jati Setia (PJS) dan ahli syarikat itu dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Brunei.

Ismail berkata, pelancaran HPAIC bermakna ‘gelombang kedua’ yang harus dilalui semua warga syarikat itu selepas kejayaan yang diraih syarikat yang bermula dengan modal permulaan hanya RM3,000 pada 1998, tetapi kini mencatatkan jualan hampir RM20 juta sebulan di Malaysia dan RM3 juta di Indonesia.

“Permintaan produk halal di seluruh dunia tahun ini saja berjumlah RM7.1 trilion dan HPA melihat peluang yang cukup besar untuk HPA kerana perjuangan kita selama ini untuk membawa produk halal dan suci kepada ummah.

“HPA Mall adalah langkah awal untuk kita merealisasikan impian mempunyai emporium produk halal dan suci kita sendiri pada masa depan dengan sasaran kita pasar raya besar di atas jenama kita akan dibuka selewat-lewatnya lima tahun lagi,” katanya.

Menurutnya, HPA yakin pemasaran tidak menjadi masalah kerana selain mempunyai lebih 670,000 ahli yang komited di Malaysia dan 250,000 di Indonesia, Kemboja, Thailand dan Brunei, produk halal dan suci dicari semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Ismail berkata, masalah utama untuk HPA membuka pasar raya besar sekarang ialah faktor kekurangan produk.

“Perancangan HPA ialah selain produk yang kami keluarkan sendiri, syarikat ini juga menjadi pemasar bagi produk orang Islam yang dikenal pasti halal dan suci serta daripada bahan bermutu,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, HPA kini melaksanakan program khas untuk mencari usahawan Bumiputera menjadi rakan niaga kepada HPA.

Thursday, October 21, 2010

China Kaji Kereta Api Selaju 500 km/j

Kajian pembuatan kereta api laju sederas 500 km/j sedang dijalankan selepas kereta api laju sederas 380 km/j beroperasi. Demikian dinyatakan oleh Ahli Akademik Kejuruteraan China, dan Ketua Jurutera Kementerian Kereta Api China, He Huawu hari ini.

Terdapat 337 buah kereta api laju yang beroperasi di landasan kereta api di China sekarang ini. Tahap penyelidikan dan teknologi pembuatannya menduduki tempat teratas di dunia. Model kereta api laju yang bergenerasi baru, iaitu CRH308A yang kelajuannya mencecah 416.6 km/j mencipta rekod kelajuan kereta api dunia dalam ujian di landasan kereta api laju Shanghai- Hangzhou pada 28 September tahun ini.

Jauhnya perjalanan kereta api laju yang sudah beroperasi di China mencecah 7055 kilometer setakat penghujung bulan September yang lalu, manakala panjangnya landasan kereta api yang sedang dibina melebihi 10 ribu kilometer. China menjadi sebuah negara yang teknologi kereta api lajunya paling sempurna di dunia, kecepatan perjalanannya paling tinggi, dan landasan kereta api lajunya paling panjang.

Tuesday, October 5, 2010

16th Asian Games Guangzhou 2010



Bandar Guangzhou, ibu kota provinsi Guangdong di selatan China, terpilih sebagai tuan rumah Sukan Asia 2010. Maka bandar ini menjadi bandar kedua di China yang menyelenggarakan Sukan Asia selepas Beijing pada tahun 1990.

Dalam Sukan Asia 2010 nanti, sebanyak 42 acara pertandingan, termasuk 28 acara Sukan Olimpik dan 14 acara bukan Sukan Olimpik disediakan untuk menjadi tumpuan para atlet. Seramai 12,000 orang atlet dari seluruh rantau Asia dijangka akan beraksi dalam temasya sukan ini. Angka ini akan mencipta rekod baru dalam sejarah Sukan Asia.


Menurut ramalan pihak berkaitan, seramai empat juta orang pelancong dari dalam dan luar negara akan melancong ke bandar yang digelar "kota bunga-bungaan" ini. Sehubungan dengan itu, bandar Guangzhou akan berusaha mempertontonkan tarikan bandar ini kepada semua atlet dan pengunjung sempena temasya sukan itu diadakan.

Biro Landskap Guangzhou memberitahu pemberita bahawa kerajaan bandar Guangzhou akan membaiki 24 batang jalan raya utama, menjalankan usaha penghijauan dan hiasan landskap terhadap 34 batang jalan, supaya melancarkan lalu lintas dan menjadikan bandar ini lebih indah. Jalan-jalan yang terlibat itu meliputi kebanyakan jalan utama di bandar serta jalan-jalan yang menyambungkan pusat bandar dengan Perkampungan Sukan Asia dan gelanggang pertandingan.

Jalan Dongfeng, panjangnya 6.8 kilometer, yang menyeberangi kawasan pusat bandar ini, dikatakan akan dibina sebagai "koridor perdagangan". Sebanyak lapan buah pemandangan yang menarik akan dibina di sepanjang jalan Dongfeng ini, seperti "Pelangi Dongfeng", "Tarikan Baru Zhongshan", "Jendela Yuexiu", "Zaman Moden" dan lain-lain. Pemandangan-pemandangan tersebut akan mempamerkan ciri-ciri bandar ini, seperti binaan istimewa, tapak peninggalan tembok kota purba dan wajah Guangzhou yang moden kepada orang awam.


Selain membuat hiasan landskap, pihak kerajaan tempatan juga akan menjalankan perbaikan terhadap beberapa kawasan yang tandus, dan membina taman atau kawasan rekreasi di sana. Dengan adanya taman-taman kecil serta kawasan rekreasi ini, ia bukan sahaja akan menjadikan bandar ini lebih cantik, tetapi juga menyediakan tempat kepada penduduk tempatan untuk berehat dan beriadah.

Wartawan dimaklumi bahawa kerajaan Guangzhou telah mengemukakan rancangan menghiasi bandar ini dengan bunga-bungaan di jalan yang menyambungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun dengan Kota Sukan Asia, kawasan tepi Sungai Mutiara serta beberapa banyak dataran dan lain-lain.


Bayangkanlah, betapa indahnya bandar yang dipenuhi bunga yang berwarna-warni sempena Sukan Asia pada bulan November tahun depan!

Petugas Biro Landskap Guangzhou menyatakan bahawa sebanyak 200 jenis bunga telahdipilih untuk diuji, untuk menghiasi bandar ini nanti. Pada bulan November tahun ini pula, pameran bunga-bungaan akan diadakan ketika itu. Para penduduk tempatan dan pelancong akan diundang menjadi hakim untuk memilih bunga-bunga yang paling sesuai dan yang paling disukai ramai untuk menghiasi bandar ini.

Sunday, September 26, 2010

GITE 2010 - GUANGDONG INTERNATIONAL TOURISM EXHIBITION 2010

Date:

2010-09-25 - 2010-09-28

Time:

09:00 - 17:00

Event Type:

Exhibition, Conference, Seminar

Event Organizer:

Adsale Exhibition Services Ltd

Country:

China

Region/Province/State:

Guangdong

Venue:

Poly World Trade Center Expo (Pazhou, Guangzhou, PR China)

URL:

http://www.adsale.com.hk

Language:

Multi-lingual

Target Participant(s):

Guangzhou Asian Games, Hong Kong, Macau and Taiwan Pavilion, International and MICE, Green Travel, Hotels & Resorts, Airlines companies, E-commerce, Self-Driving etc.

Industry Sector(s):

Advertising/Marketing/PR
Business Services
Entertainment, Media & Publishing
Health & Personal Care
Hospitality/Recreation

Descriptions:

Being one of the most important activities of China International Tourism and Culture Festival, Guangdong International Tourism Exhibition 2010, sponsored by Tourism Administration of Guangdong Province and Guangzhou Lingnan International Enterprise Group Co., Ltd, and jointly organized by the Guangdong Tourism Association and Guangzhou GZL International Travel Service Ltd, co-organised by Adsale Exhibition Services Ltd., will be staging its 6th edition from September 25 to 28, 2010 at Poly World Trade Center Expo, Pazhou, Guangzhou.

To facilitate business matching, various theme zones will be set up, including Airline Companies, Green Tourism, Hotels & Resorts, Self-Driving Tourism etc., displaying the domestic and overseas tourism destinations, tourism corporation images and tourism products. As MICE industry is developing fast in recent years, thus MICE zone will be newly set up as one of the show highlights. Thousands of corporate buyers will have business discussion with exhibitors. Pavilions from Hong Kong and Macau will be presented, other International Pavilions include Taiwan, Malaysia and Japan, to name a few.

Monday, September 20, 2010

Gotong-royong sedia sate, lemang

Sumber: mymetro
Link : www.hmetro.com.my/articles/Gotong-royongsediasate_lemang/Article/

DI Malaysia, tentu jarang sekali perkara ini berlaku, solat sunat hari raya dibuat sebanyak dua kali. Tetapi di Masjid Huaisheng, di Jalan Guangta (Guangta Lu) Guangzhou, ia perkara yang biasa setiap tahun.

Keadaan ini berlaku kerana jemaah yang ramai dan ruang masjid yang kecil untuk menempatkan semua orang sekali gus, maka ia dipecahkan dua kali.

Tazkirah dalam bahasa Mandarin tetap diadakan sebelum solat diikuti khutbah Aidilfitri selepas solat. Apa yang menarik, khutbah dibuat dalam bahasa Arab.

Solat di sini memang lain benar dengan Malaysia. Jumlah takbir setiap rakaat juga berbeza. Bagi yang tidak biasa seperti penulis, terkial-kial jadinya.

Namun, masjid adalah tempat pertemuan masyarakat Muslim yang paling mudah dan ketika itulah masing-masing saling berbalas ucapan mengucapkan Eid Mubarak walau tanpa mengenali siapa pun orang itu.

Keadaan di luar masjid yang merupakan jalan raya utama sudah mulai sibuk seawal jam 6 pagi. Jalan keluar masuk ditutup. Jualan seperti ayam goreng, pau, makanan berkuah tradisional, roti kebab dan kekacang mula dijual di gigi jalan.
Penulis tidak pasti sama ada kemeriahan itu kerana 1 Syawal atau hari Jumaat. Kebetulan hari raya jatuh pada hari Jumaat tahun ini tetapi tetap ada kain rentang dipamerkan petanda Eid Mubarak.

Penulis bertemu juga dengan rakyat Malaysia yang kebanyakannya pekerja konsulat dan ahli keluarga mereka, pelajar universiti serta beberapa orang lagi yang sedang bekerja atau pun melakukan perniagaan.

Jumlahnya tidak seramai mana, difahamkan daripada 400 orang yang berdaftar dengan konsulat Malaysia, hanya 10 peratus saja berbangsa Melayu.

Kesunyian beraya di rantau orang agak menyedihkan hati dan juadah pagi Syawal yang sempat dibuat hanya nasi himpit segera, kuah kacang segera dan tiga jenis bekas kecil kuih raya kiriman kakak.

Namun, sekitar jam 11 pagi, seorang kenalan baru yang juga suami kepada salah seorang kakitangan konsulat Malaysia, Normizol Junuh, menelefon mengajak kami beraya di rumah terbuka keluarga Dzulkiflee Mokhati yang berkhidmat sebagai Penolong Atase Imigresen di Jincheng Park, Dong Feng.

Terasa kembali suasana raya bagai di tanah air yang meriah dengan rumah terbuka kerana sebaik tiba, aroma rendang daging menyambut ketibaan kami.

Di atas meja, penuh dengan juadah lazat seperti lontong, laksa, nasi beriani, ayam masak merah dan kuah kacang. Walaupun segan kerana tidak mengenali tuan rumah, sambutan mesra Dzulkiflee dan isteri membuatkan hilang rasa canggung.

Tetamu yang hadir terdiri daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Guangzhou, rakan sekerja Dzulkiflee yang terdiri daripada warga China tempatan dan pelajar Malaysia.

Antara tetamu istimewa tentu saja Konsul Besar Malaysia di Guangzhou, Francisco Munis; Konsul Pelaburan, Ramli Bakar; Timbalan Pengarah Tourism Malaysia di Guangzhou, Zainalfitri Mohd Noor; Penolong Pesuruhjaya Perdagangan, Matrade, Mohd Salleh Azwa Samshudin; Timbalan Konsul, Mohd Amran Md Ali dan Pembantu Peribadi, Konsul Pelaburan, Amnah Bujang.

Pelajar Malaysia yang hadir sama ialah Nurul Syuhada Jaafar, 19, berasal dari Bagan Serai, Perak, kakaknya Nurul Farhana, 20, Rabiatul Adawiyah Othman, 19, dari Bagan Datok, Perak, Siti Asiah Zulkifli, 25, dari Kota Bharu, Kelantan, Harith Rosham, 18, dan Mohd Safwan Jamal, 20, dari Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Semuanya menuntut di Kolej Bahasa dan Budaya Cina, Universiti Jinan di bidang bahasa dan kebudayaan Cina.

Selain bersembang dalam bahasa kebangsaan, saling berkenalan dan bertanya khabar, ada kanak-kanak berlari dan bermain, membangkit suasana raya yang amat dirindui.

Penulis difahamkan, acara rumah terbuka turut diadakan oleh rakan Dzulkiflee yang lain secara bergilir dan mereka akan saling berkunjung membangkitkan suasana Aidilfitri di rantau orang.

Pada hari kedua Aidilfitri, Amnah pula mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Tian He. Sekali lagi penulis dijemput sama dan kali ini ada kelainan menu kerana sate dan lemang menggunakan buluh siap disajikan.

Sekali lagi kemeriahan Aidilfitri muncul kembali. Pelajar Malaysia walau pun hanya enam orang, bergotong-royong membantu menyediakan sate dan lemang membangkitkan suasana muafakat seperti hidup berjiran di kampung.

Thursday, September 9, 2010

Menjelang Syawal

Masa berlalu pergi, Hari bersilih ganti,
Tanpa ku sedari,
Ramadhan kian Menutup tirainya.
Sedih hati Apabila memikirkannya,
Mahu tidak mahu Perlu hati ini,
Merelakan pemergiannya,
Apakah jasad dan rohku Bersatu lagi,
Demi menyambut Ramadhan yang akan datang,
Senjata ku doa, zikir, dan munajat,
Agendaku di susun rapi,
Namun begitu,
Hanya Allah sahaja Yang menentukannya,
Pintaku untuk Ramadhan ini,
Semoga Allah s.w.t menerima segala amalanku, Dan umatnya yang beriman,
Dan di kurniakan Rasulullah s.a.w,
Darjat dan kedudukan yang tinggi,
Sepertimana yang telah Engkau Janjikan Ya Allah….

“TaqabbalaLlah Minna wa Minkum” (semoga Allah menerima ibadah kita semua)
Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin pintaku pada semua..


-Guangdong, Guangzhou, People's Republic of China.-