Monday, September 28, 2009

Guilin, Guangxi, China, ada apa di sana??

Nama Guilin mungkin tidak terkenal seperti bandar metropolis lain di China, diantaranya seperti Beijing dan Shanghai, namun, bandar Guilin dengan penduduknya kira-kira 5 juta orang ini sudah lama berkembang maju sebagai destinasi pelancongan utama di tanah besar China.

Keindahan bandar ini sudah lama menarik perhatian 'pengarah filem Barat'. Pemandangan indah banjaran bukit batu kapur yang seakan-akan membiak-biak di seluruh wilayah ini pernah dijadikan latar utama dalam "The Painted Veil" dan pelbagai filem yang lain.

Landskap semula jadi yang unik yang terbentuk dengan bukit batu kapur, air sungai dan tasik yang jernih ini memberikan keistimewaan kepada Guilin. Bandar moden ini juga merupakan salah sebuah bandar terbersih di China.

Tarikan Dalam Bandar

Dua batang sungai utama, iaitu sungai Lijiang dan Sungai Taohua serta empat buah tasik, Shahu, Ronghu, Guihu dan Mulong di bandar Guilin ini, asalnya adalah terusan yang dibina pada zaman Dinasti Tang. Kini, semua ini menjadi tarikan utama di bandar ini.

Di Guilin, anda boleh mengikuti pakej pelancongan 2 sungai dan 4 tasik. Keindahan taman tasik yang disinari cahaya lampu kecil di sini boleh dinikmati pada malam hari. Dengan berlayar menyusuri tasik-tasik tersebut, anda akan melalui 19 buah jambatan, Pagoda Matahari dan Bulan yang setinggi 41 meter, dan dibina dengan tembaga, serta bangunan-bangunan kuno seperti Pintu Gerbang Selatan Kuno dan lain-lain.

Setiap sebuah daripada 19 buah jambatan tersebut, kelihatan dengan ciri masing-masing yang berbeza-beza. Misalnya, Jambatan Kristal, ia dibina sepenuhnya daripada kristal. Ia dikatakan sebagai satu-satunya jambatan kristal di China. Pada dinding jambatan tersebut juga terdapat kaligrafi puisi lama China.

Suatu agenda yang juga menarik adalah melihat persembahan opera dan persembahan muzik oleh warga emas di sekitar tebing tasik secara percuma. Persembahan ini telah berjaya menarik penonton daripada pelbagai lapisan usia.

Pada siang hari, kebanyakan pelancong tidak melepaskan peluang untuk bergambar di depan Bukit Belalai Gajah, bentuknya amat serupa dengan seekor gajah yang sedang minum dengan hujung belalainya terbenam di sungai. Bukit ini telah menjadi batu lambang pelancongan di bandar Guilin.

Bukit Fubo di Taman Fubo yang terletak tidak jauh dari situ pula mengandungi beberapa gua kecil termasuk Gua Pengembalian Mutiara yang panjangnya 128 meter, yang menempatkan pelbagai patung Buddha yang diukir dan loceng besi raksasa yang beratnya 2.5 tan, dari Zaman Dinasti Qing.

Gua Seruling Mensiang di Bukit Guangming, 7 kilometer dari Guilin pula mempunyai pelbagai rupa stalaktit dan stalagmit di lorong sepanjang 500 meter, termasuk bentuk air terjun tergantung, rupa singa dan pelbagai bentuk bunga.

Belayar di Sungai Li

Kunjungan ke Guilin bukan saja tidak lengkap malah boleh dikatakan tidak berbaloi jika tidak menyaksikan pemandangan banjaran batu kapur, lembah hijau dan aliran jernih sepanjang Sungai Li yang begitu indah.

Pelayaran dengan bot pada pagi bagi menyaksikan landskap ini sudah cukup membuat pelancong yang pertama kali datang ke sini jatuh hati.

Sepanjang perjalanan menyusuri sungai ini, pelancong juga dapat melihat keunikan cara penduduk kampung menangkap ikan dengan menggunakan helang penangkap ikan.

Helang penangkap ikan mampu menyelam jauh ke dasar sungai ini untuk memburu ikan dengan menggunakan paruhnya yang besar. Bagaimanapun, terlebih dahulu, pemiliknya akan mengikat leher burung itu dengan tali untuk memastikan ikan yang ditangkapnya tidak dimakan terus oleh burung itu.

Apabila naik kembali ke bot, tuan burung ini hanya perlu mengurut paruh burung untuk mengeluarkan ikan yang baru ditangkapnya. Pelayaran menyusuri Sungai Li ini memakan masa kira-kira dua jam setengah dan berakhir di Yangshuo.

Yangshuo

Bandar kecil ini turut memiliki pelbagai daya tarikan besar termasuk Jalan Barat, pusat komersial dengan jeti kecil yang menempatkan pelbagai kafe, restoran dan kedai cenderamata.

Sejarah bandar ini bertitik tolak daripada aktiviti perdagangan yang sudah menjangkau 1,500 tahun dan kini, ia menjadi tumpuan warga asing yang ingin mempelajari bahasa Mandarin.

Tidak jauh dari situ, Land of Peach Blossom juga mempunyai suasana perkampungan etnik dengan kincir air, tasik dan persembahan hiburan kaum minoriti.

Pelayaran di Sungai Li akan melewati Gua Mahkota yang memiliki anak sungai bawah tanah sepanjang 12 kilometer, dan mengalir ke Sungai Li. Bagaimanapun, untuk ke gua ini, pelancong perlu menaiki bas selama 40 minit dari Guilin.

Jangan terkejut jika diberitahu bahawa gua ini memiliki lif untuk naik ke tempat setinggi 12 tingkat. Kerana sudah lama dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, gua ini juga dapat memberikan pengalaman untuk kita menaiki kereta bumper, kereta api dalam gua dan bot menyusuri sungai bawah tanah.

Di sini, pelancong jangan lupa mengakhiri kunjungan dengan menaiki kereta kabel untuk ke puncak Gunung Yao bagi melihat pemandangan yang indah bagi sebahagian besar bandar Guilin.

Taman Tema

Guilin Merryland merupakan taman tema terbesar di kawasan ini. Ia dibangunkan di atas tapak seluas kira-kira 90 hektar pada tahun 1997. Kawasannya meliputi taman tema berteknologi tinggi, hotel lima bintang dan kompleks padang golf.

Taman tema ini merangkumi lima bahagian utama, iaitu Merry Town, American Western, Dream World, Pirate Village, dan South Pacific. Setiap satunya mempunyai tema yang berbeza dan memberikan pengalaman yang berbeza juga kepada pengunjungnya.

Bahagian utama ini dipisahkan oleh Tasik Ling, iaitu tasik semula jadi yang menjadi legenda di kalangan penduduk tempatan. Tarikan utamanya termasuklah jambatan tradisional, pagoda dan persembahan koboi.

Tempat yang Mesti Dikunjungi

Bersandarkan filem "Kakak Liusan" yang diterbitkan pada tahun 1961, persembahan teater air semula jadi yang terbesar di dunia dengan tenaga kerja melebihi 600 orang diadakan pada bulan Mac tahun 2004. Itulah, Lambang Kakak Liusan.

Sejak itu, Lambang Kakak Liusan menjadi agenda wajib bagi pelancong yang datang ke Guilin. Persembahan ini terbahagi kepada tujuh segmen, dan ia memaparkan legenda dan keindahan Sungai Li menerusi persembahan cahaya dan bunyi dengan latar belakang pemandangan banjaran bukit batu kapur yang indah.

Persembahan teater air ini diarah oleh pengarah terkenal China, Zhang Yimou. Beliau turut mengubah suai tema mengikut empat musim, iaitu musim bunga, musim panas, musim gugur dan musim sejuk. Pelancong asing amat tertarik dan terkejut dengan persembahan ini.

Satu lagi pilihan adalah Persembahan Impian Sungai Li yang menghidangkan gabungan persembahan akrobatik, sarkas, balet, bunyi dan cahaya. Pengunjung pasti terpesona dengan aksi akrobatik, serta nyanyian dan tarian yang indah.

Diharap para pengunjung tidak lupa mengunjungi pusat beli-belah bawah tanah dan Pasar Hong Kong Kecil di Guilin. Pelancong boleh membeli-belah di pasar malam ini atau menyaksikan filem layar air Dunia Merryland, pada pukul 8.30 malam setiap hari.

Saudara pendengar, begitu banyak sudah diceritakan tentang Guilin yang indah ini. Tidakkah anda mahu segera pergi ke sana untuk menyaksikan pemandangan yang indah dan tradisi tempatan yang istimewa itu?

Walaubagaimanapun saya mohon maaf kerana mungkin ada dalam pembaca tertanya-tanya mengapa tidak ada gambar dilampirkan bersama?

Saya sekarang berada berada di Bandar Guangzhou, daerah Guangdong, China sedang meneruskan pembelajaran saya dalam jurusan bahasa mandarin. Oleh itu, setiap artikel terbaru yang akan saya muatkan ke dalam blogspot ini akan menghadapi masalah untuk melampirkan gambar berkenaan dengan tajuk yang di utarakan. Kerana kerajaan China sama sekali mengharamkan laman web blogspot terutamanya, bagi menjaga kepentingan dan keselamatan negaranya dari isu atau sentimen yang tidak sepatutnya di masukkan ke dalam ruang alam maya di negaranya.

Sunday, September 20, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Masa berlalu pergi,

Hari bersilih ganti,

Tanpa ku sedari,

Ramadhan kian,

Menutup tirainya.

Sedih hati,

Apabila memikirkannya,

Mahu tidak mahu,

Perlu hati ini,

Merelakan pemergiannya,

Apakah jasad dan rohku,

Bersatu lagi,

Demi menyambut,

Ramadhan yang akan datang,

Senjata ku doa, zikir, dan munajat,

Agendaku di susun rapi,

Namun begitu,

Hanya Allah sahaja,

Yang menentukannya,

Pintaku untuk Ramadhan ini,

Semoga Allah s.w.t,

Menerima segala amalanku,

Dan umatnya yang beriman,

Dan di kurniakan Rasulullah s.a.w,

Darjat dan kedudukan yang tinggi,

Sepertimana yang telah,

Engkau Janjikan Ya Allah….

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri,

Maaf Zahir dan Batin pintaku pada semua..

Taqabbalullah minna waminka..

Friday, September 11, 2009

Kelebihan 10 Malam Akhir Ramadhan & Lailatul Qadr

‘A-isyah R.’anha meriwayatkan:


كان النبي صلى الله عليه وسلم يجتهد في العشر الأواخر من رمضان ، ما لا يجتهد في غيرها


Maksudnya: “Adalah Nabi SAW bersungguh-sungguhnya pada 10 malam akhir dalam bulan Ramadhan, tidak seperti malam-malam yang lain.” (HR Muslim)
Di dalam al-Bukhari dan Muslim daripada ‘A-isyah RA:


أن النبي صلى الله عليه وسلم " كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره


Maksudnya: “Nabi SAW apabila masuk 10 malam yang akhir, baginda menghidupkan malamnya, membangunkan isterinya dan mengikat kainnya.”

“Perkataan mengikat kainnya” membawa maksud menjauhi jima’.

Malam al-Qadr (Lailatul Qadr)

Allah SWT telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr, Allah berfirman:

“Demi kitab (al-Quran) yang menjelaskan, sesungguhnya kami menurunkannya pada satu malam yang diberkati, dan sesungguhnya kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. Yaitu urusan yang besar di sisi kami, sesungguhnya kami yang mengutuskan rasul-rasul.” (al-Dukhan: 2-5)

Allah SWT mensifatkan malam yang diturunkan al-Quran itu adalah malam yang diberkati. Para ulama salaf seperti Ibn ‘Abbas, Qatadah, Said bin Jubair, Ikramah, Mujahid dan selainnya mengatakan malam yang diberkati itu ialah malam al-Qadr (Lailatul Qadr).

Al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab tafsirnya menyebut:


يُخْبِر تَعَالَى أَنَّهُ أَنْزَلَ الْقُرْآن لَيْلَة الْقَدْر وَهِيَ اللَّيْلَة الْمُبَارَكَة الَّتِي قَالَ اللَّه عَزَّ وَجَلَّ " إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَة مُبَارَكَة " وَهِيَ لَيْلَة الْقَدْر وَهِيَ مِنْ شَهْر رَمَضَان كَمَا قَالَ تَعَالَى " شَهْر رَمَضَان الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآن


Maksudnya: “Allah taala mengkhabarkan, Ia menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr, ianya ialah malam yang diberkati yang difirmankan Allah ‘azza wa jalla: “(Maksudnya) Sesungguhnya kami menurunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.” Ia ialah malam al-Qadr yang berlaku di dalam bulan Ramadhan seperti firman Allah taala: “(maksudnya) Bulan Ramadhan, yang diturunkan padanya al-Quran.” (Sila rujuk tafsir Ibn Kathir terhadap surah al-Qadr)

Firman Allah yang bermaksud: “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah”, membawa maksud diturunkan pada malam tersebut ketentuan-ketentuan (takdir-takdir) setiap makhluk selama setahun, termasuk ajal, rezeki, bahagia, sengsara dan sebagainya.

Oleh itu, yang dimaksudkan dengan “Lailah al-Qadr” ialah malam yang diturunkan penentuan dalam bentuk tahunan, iaitu takdir yang telah Allah tulis yang berada di al-Luh al-Mahfuz diturunkan kepada malaikat pada malam tersebut, untuk tempoh setahun.

Kelebihan malam al-Qadr

1. Diturunkan padanya al-Quran. Ibn ‘Abbas RA mengatakan:


أنزل الله القرآن جملة واحدة من اللوح المحفوظ إلى بيت العزة من السماء الدنيا ، ثم نزل مفصلاً بحسب الوقائع في ثلاث وعشرين سنة على رسول الله صلى الله عليه وسلم


Maksudnya: “Allah menurunkan al-Quran kali pertama secara sempurna daripada al-Luh al-Mahfuz ke baitil ‘izzah di langit dunia, kemudian al-Quran diturunkan secara berasingan berdasarkan peristiwa-peristiwa dalam tempoh 23 tahun kepada Rasulullah SAW.” (Sila rujuk tafsir Ibn Kathir 4/529)

2. Allah berfirman, malam al-Qadr itu lebih baik dari 1000 bulan (Surah al-Qadr: 3)

3. Allah mensifatkan malam al-Qadr itu sebagai malam yang diberkati. (al-Dukhan: 3)

4. Pada malam itu turunkan para malaikat dan Jibril bersama dengan kerahmatan dan keberkatan.

5. Allah SWT mengampunkan dosa-dosa sesiapa yang menghidupkan berdasarkan hadith Nabi SAW:


ومن قام ليلة القدر إيماناً واحتساباً غفر له ما تقدم من ذنبه


Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadr dalam keadaan beriman dan ihtisab (ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah), diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (al-Bukhari dan Muslim)

Bilakah berlakunya malam al-Qadr

1. Sepuluh malam yang akhir. Sabda Nabi SAW:


تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر من رمضان


Maksudnya: “Bersungguhlah mencari malam al-Qadr pada 10 malam yang akhir dalam bulan Ramadhan.” (HR al-Bukhari)

2. Sepluh malam akhir yang ganjil. Sabda Nabi SAW:


تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر


Maksudnya: “Bersungguh-sungguhlah mencari malam al-Qadar pada 10 malam akhir yang ganjil.” (HR al-Bukhari) 10 malam akhir yang ganjil ialah 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan.

Wallahu a’lam

Rujukan : Institut Al-Qayyim (http://al-qayyim.net)

Tuesday, September 8, 2009

17 Ramadhan & Nuzul Al-Quran?

Orang Islam Nusantara termasuk di Malaysia benar-benar ambil cakna tentang tarikh peristiwa-peristiwa penting dalam Islam. Tidak hairan apabila tiba tarikh-tarikh tertentu, pelbagai upacara persis perayaan disambut di pelbagai peringkat.

Siapa kalangan kita tidak pernah mendengar tentang sambutan Maal Hijrah, Maulid Nabi, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, Nuzul Quran, dan macam-macam perayaan lagi.

Dari satu sudut, sikap ambil peduli orang kita terhadap sejarah Islam, apatah lagi sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam patut dipuji malah disemai dalam masyarakat. Kerana ia secara langsung akan membenihkan rasa cinta dan kasih kepada baginda.

Cuma dalam keghairahan menyambut sambutan-sambutan bersejarah, wajar diperjelaskan kepada masyarakat dua perkara penting. Ia bagi memastikan perbuatan kita yang bersangkutan agama berasaskan fakta yang benar dan berpayung di bawah petunjuk agama.
Pertama, ialah memastikan kesahihan tarikh sesuatu peristiwa.


Kita tidak boleh bergantung hanya kepada kepercayaan masyarakat semata-mata. Kerana kajian-kajian ilmiah masakini sudah membuktikan bahawa banyak tarikh-tarikh yang menjadi kepercayaan masyarakat Melayu, sebenarnya tidak berasas kepada bukti dan fakta yang berwibawa.

Untuk ini, kita hendaklah membuat kajian terperinci dan meluas terhadap sumber-sumber sejarah berpandukan metod yang diiktiraf dalam dunia akademik. Ataupun merujuk kepada ilmuan yang pakar dalam bidang sejarah dan riwayat.

Kedua, selepas ditemui dan dipastikan secara yakin tarikh yang tepat terhadap sesuatu peristiwa sejarah, perlu pula kepada persoalan adakah di sana syarak menganjurkan diadakan apa-apa sambutan terhadap peristiwa tersebut. Jika ada anjuran daripada syarak, maka kita hendaklah meraikannya sepertimana yang dianjurkan. Sebaliknya, jika syarak tidak menganjurkan apa-apa sambutan, janganlah kita terpedaya dengan amalan yang diada-adakan oleh orang terkemudian. Kerana amalan rekaan seperti ini pasti ditolak oleh Allah Taala.

Berpandukan kepada dua asas yang disebutkan, mari kita selusuri perayaan Nuzul Quran yang disambut pada 17 Ramadhan. Adakah terdapat sokongan daripada fakta sejarah atau tidak?

1) Tarikh Nuzul Quran

Selepas mengambil kira beberapa pandangan sejarawan Islam, serta bandingan hujah dan fakta setiap pendapat, memang ada kalangan mereka menyebut 17 Ramadhan sebagai tarikh permulaan turunnya Al-Quran. Tetapi tidak ada dalil sahih yang menyokong tarikh ini.

Yang ada hanyalah atsar daripada Abu Jaafar al-Baqir yang menyebut, “Permulaan turunnya wahyu kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah pada hari Isnin, pada tujuh belas Ramadhan”. Atsar ini diriwayatkan oleh Al-Waqidi dengan rantaian sanadnya. (Al-Bidayah Wa Al-Nihayah 3/11).

Dari sudut ilmu kajian hadis, atsar seperti ini tidak diterima sebagai hujah. Selain ia tidak bersambungan sehingga Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, ia juga adalah riwayat Al-Waqidi yang dipertikaikan kewibawaannya dalam ilmu periwayatan.

Maka, jelas bahawa sandaran kepada sambutan Nuzul Quran pada 17 Ramadhan tidak berasaskan kepada hujah yang dipercayai.

Di sana terdapat pendapat yang lebih kuat iaitu Nuzul Quran berlaku pada 24 Ramadhan (yakni: pada malam 25). Ia berdasarkan satu hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

“Diturunkan Suhuf Ibrahim a.s. pada malam pertama Ramadhan. Diturunkan Taurat pada 6 Ramadhan. Dan (diturunkan) Injil pada 13 Ramadhan. Dan diturunkan Al-Furqan (Al-Quran) pada 24 Ramadhan”.
Direkod dalam Musnad Ahmad (no: 16984), dan Mukjam Kabir Oleh Tabarani (no: 18036). Al-Albani menilainya sebagai hasan. (Silsilah Sahihah 4/104)

Antara dua tarikh iaitu 17 Ramadhan dan 24 Ramadhan, ternyata tarikh 24 Ramadhan lebih kukuh dari sudut fakta dan riwayat.

2) Adakah terdapat anjuran sambutan Nuzul Quran?

Samada kita berpegang kepada tarikh 17 atau 24, mahupun tarikh-tarikh lain, persoalan kedua ialah adakah syarak menganjurkan mengadakan sambutan apabila tibanya tarikh ini?

Wujudkah dalam dewan sunnah walau satu hadis yang bermaksud hendaklah dianjurkan apa-apa perayaan apabila tiba tarikh Nuzul Quran ini? Jawapan yang pasti ialah: Tiada!!

Beberapa dekad yang lalu pada tahun 1966, Kerajaan Pakistan melalui keduatannya di Arab Saudi mengutusi Kerajaan Arab Saudi meminta supaya dipastikan tarikh yang tepat terhadap Nuzul Quran. Ketika itu Pakistan bercadang membuat sambutan perayaan 1400 tahun Nuzul Quran. Oleh kerana banyak pendapat tentang tarikhnya di kalangan ulama Pakistan, kerajaan Pakistan meminta ketetapan tarikh daripada Kerajaan Arab Saudi.

Antara kandungan surat jawapan daripada Mufti Besar Arab Saudi ketika itu, Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali al-Syeikh ialah:

“Manakala perbahasan tentang keharusan menjadikan hari Nuzul Quran sebagai perayaan yang disambut saban tahun, maka sungguhpun tujuan penganjurnya baik, tetapi oleh kerana ia tidak dianjurkan syarak, tidak warid daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, juga tidak dinukilkan dari seorang pun khulafa rasyidin, dan seluruh sahabat dan tabien, tidak juga dinukilkan daripada empat Imam mazhab, Abu Hanifah, Malik, Syafie, dan Ahmad, dan tidak juga daripada imam-imam lain yang dituruti dari kalangan salaf dan khalaf, maka hendaklah diambil perhatian bahawa perbuatan seumpama ini adalah tidak harus dari segi syarak.”

Ini bererti perayaan Nuzul Quran yang disambut oleh masyarakat hari ini rupa-rupanya tidak ada langsung anjurannya daripada syarak. Ditambah pula dengan kedhaifan dalil yang menjadi hujah bagi tarikh 17 Ramadhan.

Yang paling saya ingin tekankan di sini, ialah dua elemen penting yang patut menjadi dasar dalam apa-apa sambutan perayaan dalam Islam. Pertama: Menilai kesahihan tarikh peristiwa. Kedua: Memastikan wujudkah anjuran syarak untuk diadakan perayaan sempenanya.

Dengan menyelesaikan dua jawapan secara akademik dan berfakta, In Sya Allah tindakan kita tidak akan terpesong daripada dasar-dasar Islam.

Wallahu A’lam

Rujukan : al-qayyim.net