Monday, September 20, 2010

Gotong-royong sedia sate, lemang

Sumber: mymetro
Link : www.hmetro.com.my/articles/Gotong-royongsediasate_lemang/Article/

DI Malaysia, tentu jarang sekali perkara ini berlaku, solat sunat hari raya dibuat sebanyak dua kali. Tetapi di Masjid Huaisheng, di Jalan Guangta (Guangta Lu) Guangzhou, ia perkara yang biasa setiap tahun.

Keadaan ini berlaku kerana jemaah yang ramai dan ruang masjid yang kecil untuk menempatkan semua orang sekali gus, maka ia dipecahkan dua kali.

Tazkirah dalam bahasa Mandarin tetap diadakan sebelum solat diikuti khutbah Aidilfitri selepas solat. Apa yang menarik, khutbah dibuat dalam bahasa Arab.

Solat di sini memang lain benar dengan Malaysia. Jumlah takbir setiap rakaat juga berbeza. Bagi yang tidak biasa seperti penulis, terkial-kial jadinya.

Namun, masjid adalah tempat pertemuan masyarakat Muslim yang paling mudah dan ketika itulah masing-masing saling berbalas ucapan mengucapkan Eid Mubarak walau tanpa mengenali siapa pun orang itu.

Keadaan di luar masjid yang merupakan jalan raya utama sudah mulai sibuk seawal jam 6 pagi. Jalan keluar masuk ditutup. Jualan seperti ayam goreng, pau, makanan berkuah tradisional, roti kebab dan kekacang mula dijual di gigi jalan.
Penulis tidak pasti sama ada kemeriahan itu kerana 1 Syawal atau hari Jumaat. Kebetulan hari raya jatuh pada hari Jumaat tahun ini tetapi tetap ada kain rentang dipamerkan petanda Eid Mubarak.

Penulis bertemu juga dengan rakyat Malaysia yang kebanyakannya pekerja konsulat dan ahli keluarga mereka, pelajar universiti serta beberapa orang lagi yang sedang bekerja atau pun melakukan perniagaan.

Jumlahnya tidak seramai mana, difahamkan daripada 400 orang yang berdaftar dengan konsulat Malaysia, hanya 10 peratus saja berbangsa Melayu.

Kesunyian beraya di rantau orang agak menyedihkan hati dan juadah pagi Syawal yang sempat dibuat hanya nasi himpit segera, kuah kacang segera dan tiga jenis bekas kecil kuih raya kiriman kakak.

Namun, sekitar jam 11 pagi, seorang kenalan baru yang juga suami kepada salah seorang kakitangan konsulat Malaysia, Normizol Junuh, menelefon mengajak kami beraya di rumah terbuka keluarga Dzulkiflee Mokhati yang berkhidmat sebagai Penolong Atase Imigresen di Jincheng Park, Dong Feng.

Terasa kembali suasana raya bagai di tanah air yang meriah dengan rumah terbuka kerana sebaik tiba, aroma rendang daging menyambut ketibaan kami.

Di atas meja, penuh dengan juadah lazat seperti lontong, laksa, nasi beriani, ayam masak merah dan kuah kacang. Walaupun segan kerana tidak mengenali tuan rumah, sambutan mesra Dzulkiflee dan isteri membuatkan hilang rasa canggung.

Tetamu yang hadir terdiri daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Guangzhou, rakan sekerja Dzulkiflee yang terdiri daripada warga China tempatan dan pelajar Malaysia.

Antara tetamu istimewa tentu saja Konsul Besar Malaysia di Guangzhou, Francisco Munis; Konsul Pelaburan, Ramli Bakar; Timbalan Pengarah Tourism Malaysia di Guangzhou, Zainalfitri Mohd Noor; Penolong Pesuruhjaya Perdagangan, Matrade, Mohd Salleh Azwa Samshudin; Timbalan Konsul, Mohd Amran Md Ali dan Pembantu Peribadi, Konsul Pelaburan, Amnah Bujang.

Pelajar Malaysia yang hadir sama ialah Nurul Syuhada Jaafar, 19, berasal dari Bagan Serai, Perak, kakaknya Nurul Farhana, 20, Rabiatul Adawiyah Othman, 19, dari Bagan Datok, Perak, Siti Asiah Zulkifli, 25, dari Kota Bharu, Kelantan, Harith Rosham, 18, dan Mohd Safwan Jamal, 20, dari Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Semuanya menuntut di Kolej Bahasa dan Budaya Cina, Universiti Jinan di bidang bahasa dan kebudayaan Cina.

Selain bersembang dalam bahasa kebangsaan, saling berkenalan dan bertanya khabar, ada kanak-kanak berlari dan bermain, membangkit suasana raya yang amat dirindui.

Penulis difahamkan, acara rumah terbuka turut diadakan oleh rakan Dzulkiflee yang lain secara bergilir dan mereka akan saling berkunjung membangkitkan suasana Aidilfitri di rantau orang.

Pada hari kedua Aidilfitri, Amnah pula mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Tian He. Sekali lagi penulis dijemput sama dan kali ini ada kelainan menu kerana sate dan lemang menggunakan buluh siap disajikan.

Sekali lagi kemeriahan Aidilfitri muncul kembali. Pelajar Malaysia walau pun hanya enam orang, bergotong-royong membantu menyediakan sate dan lemang membangkitkan suasana muafakat seperti hidup berjiran di kampung.

1 comment:

zuevamp said...
This comment has been removed by the author.