Sunday, June 14, 2009

Ulang Tahun ke-35 Hubungan Diplomatik China-Malaysia

Dari bandar Guangzhou menuju ke Ibu negara China, Beijing yang berjarakkan 2,200 kilometer telahpun saya lalui dengan menaiki kapal terbang selama 3 jam. Tujuan utama saya ke Beijing yang berpopulasikan 12,060,000 penduduk itu adalah untuk menghadiri `Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing 2009` yang bermula pada 31 Mei – 3 Jun 2009 lalu, bertempat di Beijing Foreign Studies University.

LATAR BELAKANG PERSIDANGAN DAN RENTETAN SEJARAH HUBUNGAN

Sedikit perkongsian mengenai latar belakang persidangan. Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing 2009 ini merupakan lanjutan beberapa persidangan yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Melayu China yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University.Tema Persidangan kali ini ialah “Jalinan Persefahaman antara Tamadun melalui Pengajian Melayu”, dengan kesedaran bahawa bidang ilmiah dan pendidikan perlu diberi perhatian yang sewajarnya sama dengan bidang lain seperti hubungan antarabangsa dan ekonomi dalam memupuk persefahaman dan keharmonian sejagat.Dengan kata lain, Persidangan Antarabangsa yang pertama ialah Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing pada 20-24 Mei 1996 yang bertemakan `Pengembangan Pengajian Melayu di Dunia``. Persidangan itu dianjurkan bersama oleh BFSU dan Dewan Bahasa serta Pustaka Malaysia, dengan kerjasama Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China(PPMC).

Persidangan yang kedua ialah Seminar Antarabangsa Budaya dan Pemikiran antara China dan Malaysia pada 9-10 Jun 2005, anjuran BFSU dan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia serta Research Center for Islamic History, Art and Culture (IRCICA). Persidangan yang kedua ini adalah lebih menumpukan pragmatik silang budaya yang berkaitkan Islam.

Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing 2009 ini dianjurkan sempena ulang tahun ke-35 termeterainya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Republik Rakyat China, iaitu pada 31 Mei 2009. Hubungan itu amat penting dalam konteks jalinan persefahaman antara dua tamadun besar, iaitu tamadun Melayu dan tamadun China yang telah mekar sejak berabad-abad yang lalu. Meskipun, pada 2 Jun 1924 yang lalu Tun Abdul Razak pernah memeteraikan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China. Namun, ketika kedua-dua negara ini darurat hubungan diplomatik tersebut telah terputus pada tahun 1948. Peristiwa ini berlaku disebabkan dasar British ketika itu yang menghalang tanah jajahannya mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan pemerintahan komunis China mahupun negara lain. Diantara sebab lain juga adalah sokongan padu yang diberikan Parti Komunis China terhadap Parti Komunis Malaya ketika pemberontakan di Tanah Melayu.

Pada tahun 1960, Malaysia telah mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Komunis termasuk Russia kecuali Republik Rakyat China. Hubungan itu diwujudkan adalah atas dasar keselamatan negara Malaysia. Dengan kata lain, semasa era pemerintahan Tun Abdul Razak, beliau telah mengubah dasar diplomatik. Demi mewujudkan kekebalan dan keutuhan semula hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Republik Rakyat China. Diantara dasar yang dipinda adalah soal keselamatan kerana usul ini mampu mempengaruhi China agar tidak menyokong PKM kerana China menginginkan keamanan sejagat yang bebas dari unsur ketidakselamatan dan ancaman terhadap negara itu. Selain itu, pindaan dasar dilakukan kerana berlaku dwi warganegara di Malaysia. Yakni, rakyat negara china yang menetap di Malaysia mempunyai 2 kerakyatan iaitu China dan Malaysia. Ini menimbulkan masalah bagi negara Malaysia. Setelah perbincangan dijalankan diantara Malaysia dan Republik Rakyat China. Malaysia mengisytiharkan rakyat china yang menetap di Malaysia diisytiharkan sebagai warganegara Malaysia tidak lagi mempunyai dua kerakyatan.

Usul yang dibincangkan dengan negara China juga ialah harapan Tun Abdul Razak agar China menjadikan Zon Asia ini sebagai zon kecuali atau kawasan selamat. Hubungan ini berlanjutan sehingga pada tahun 1969, usul yang dibincangkan dapat membebaskan ketidakselamatan dan ancaman dari negara lain. Bagi pengukuhan usul yang dibincangkan itu, Malaysia sebulat suara telah menyokong China bagi menduduki PBB dan memegang kerusi Majlis Keselamatan. Keberanian negara yang sekecil Malaysia itu, telah mengejutkan banyak negara kuasa besar. Hubungan diantara Malaysia dengan China berlanjutan sehingga ke tahun berikutnya, dalam mencapai matlamat bagi mewujudkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. Awalnya misi ini dikenali sebagai misi perdagangan, pada bulan ogos 1971 dan Januari 1972, Malaysia telah terlibat dalam aktiviti perdagangan di Canton Fair, di Guangzhou.

Seterusnya, bagi mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara itu. Kedutaan Malaysia ketika itu telah menjemput kedutaan China untuk menghadiri jamuan makan malam di Vietnam. Melalui jemputan itu keutuhan silaturahim antara Malaysia dan China pada ketika itu semakin terampil nilai persefahaman di antara kedua-dua negara itu. Disamping itu, pada bulan November 1972, Tan Sri Raja yang memimpin misi perdagangan itu telah meneliti syarat yang terdiri dari 3 perkara iaitu , Soal keselamatan, soal kenegaraan, dan Parti Komunis Malaya. Setelah penelitian dan perbincangan dibuat oleh kedua-dua buah negara itu, maka keputusan tersebut telah dipersetujui oleh kedua-dua kuasa besar itu. Namun begitu, setelah persetujuan dibuat bagi mewujudkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. Malaysia terlebih dahulu perlu ke negara jiran Asia untuk meminta restu mengenai keputusan yang dibuat. Setelah itu, kebaikan telah memihak kepada Malaysia untuk mewujudkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. Maka , termeterailah hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China pada 31 Mei 1974 yang kini sudahpun mencapai ulang tahun ke-35. Siapa sangka hubungan pada awalnya dilihat tidak mampu membawa kepada keutuhan hubungan diantara dua tamadun yang besar dan berbeza sekali pragmatik silang budayanya, yang kini telah terjalin hubungannya dengan begitu utuh dan kukuh sekali. Bahkan kebitaraanya juga begitu jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu pasca modenisme ini kian meluas digunakan sebagai bahasa kedua negara Republik Rakyat China.

LATAR BELAKANG PUSAT PENGAJIAN MELAYU CHINA

Kembali kita semula, mengenai persidangan yang diadakan pada 31 Mei – 1 Jun 2009. Umum tahu, Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University ditubuhkan secara rasminya pada 1 September 2005 dan dirasmikan oleh Y.A.B Dato` Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sebelumnya pusat itu dikenali sebagai Pusat Pengajian Bahasa Melayu yang ditubuhkan pada 20 Jun 1997 dan upacara perasmiannya disempurnakan bersama oleh Tuan Zhu Kaixuan, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pendidikan Republik Rakyat China dan Dato` Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Menteri Pendidikan Malaysia. Penubuhan pusat tersebut merupakan hasil persetujuan antara dua negara, iaitu Republik Rakyat China dan Malaysia untuk berganding bahu serta bekerjasama dalam bidang bahasa, persuratan dan pendidikan, sebagai usaha peningkatan program pembangunan pengajaran bahasa melayu yang telah dilaksanakan oleh BFSU sejak tahun 1961. Dengan mengintegritikan program pengajaran bahasa Melayu tersebut kepada program pengajian Melayu, Pusat Pengajian Melayu China secara rasminya menjadi pangkalan untuk kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu di Republik Rakyat China. Turut kerjasama bagi penubuhan Program Bahasa/Pengajian Melayu di Institusi pengajian tinggi yang lain di seluruh pelusuk negara. Pengarah Pusat Pengajian Melayu China ialah Prof Wu Zong Yu dan merupakan orang yang pertama memulakan program pengajaran bahasa Melayu di BSFU sejak tahun 1961 sehingga ke hari ini sumbangannya dalam memperluaskan pengajaran bahasa Melayu di China tidak mampu kita menilainya berdasarkan zahiriah.

KURSI PENGAJIAN MELAYU

Sedia maklum, Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Republik Rakyat China merupakan jawatan ilmiah kehormat yang ditubuhkan bersama antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China, sebagai pengiktirafan kepada peranan Beijing Foreign Studies University dalam menubuhkan dan mengembangkan program pengajian Melayu di Republik Rakyat China sejak tahun 1961. Kota Beijing merupakan tempat keempat yang memiliki Kursi Ilmiah dengan kerjasama Kerajaan Malaysia, sesudah Ohio University di Amerika Syarikat, Leiden University di Belanda dan Victoria University di New Zealand. Gagasan penubuhannya telah dicetuskan pada tahun 1996 dalam Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu anjuran BFSU dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia serta pada awal tahun 2007 secara rasminya Kursi itu telah ditubuhkan. Pada awal tahun 2008, Kursi itu mula berfungsi dengan pelantikan Prof. Dr Awang Sariyan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai penyandang pertama. Kursi ini antara lain berperanan memperkenalkan serta memperluaskan bidang-bidang baru dalam pengajian bahasa Melayu ( bahasa, sastera, budaya dan lain-lain), meningkatkan program ilmiah di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, disamping melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa / pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China.

No comments: