Friday, February 19, 2010

Perkembangan Semasa Di China

Salam kepada semua, pertama sekali saya ingin mohon maaf kepada rakan-rakan yang sebelumnya mengikuti perkembangan saya di negara china. Hampir 3 bulan saya tidak membuat sebarang tajdid ke dalam blog ini kerana begitu sibuk dengan kelas pengajian dan tugas-tugas yang perlu dilaksanakan, ditambah pula kesukaran bagi mengakseskan capaian blogspot sekaligus mengalihkan perhatian saya untuk menumpu sepenuhnya terhadap aktiviti-aktiviti yang sedang dilaksanakan.

Cumanya mungkin ada sedikit maklumat yang ingin saya kongsikan bersama anda semua sepanjang aktiviti yang saya lakukan di China.

Alhamdulillah, kini saya sudah hampir setahun berada di china. Disamping menuntut ilmu, saya juga telah menggunakan peluang yang ada itu dengan mencari ruang dan peluang perniagaan yang terbentang luas di tanah besar itu. Subhanallah, peluang perniagaan yang ada di China ini cukup besar dan begitu berpotensi sekali untuk kita menjadikannya sebagai lokasi pangkalan kita untuk menghasilkan barangan sekaligus mengurangkan kos pengeluaran disamping memaksimumkan keuntungan. Kualitinya berbeza-beza, mungkin ada dalam kalangan kita diluar sana mengetahui akan hal ini.

Cumanya setiap dalam kalangan peniaga mungkin ada agendanya yang tersendiri. Mungkin ada yang menjual barangan yang berkualitikan rendah sementara kosnya begitu melambung tingginya. Mungkin juga ada yang menjual barangan yang berkualiti sementara kosnya agak munasabah. Tetapi seperti biasa, peniaga yang bijak selalu mengharapkan pelanggannya akan terus membeli barangannya. Peniaga yang seperti ini selalunya mementingkan kualiti barangan yang dijual, kerana tentu sekali jika barangan yang dijual berkualitikan `grade b` permintaannya akan berkurangan.

3 minggu yang lalu, saya telah membuat lawatan ke beberapa provins utara china dimana terkenal dengan `heavy-machine` yang canggih dan bermutu. Lokasi pertama yang saya lawati ialah provins jiangsu yang terletak di utara selepas bandar Shanghai,kawasan yang dilawati terletak di bahagian pedalaman kerana rata-rata kawasan industrinya memang ditempatkan di kawasan sebegitu bagi mengelakkan ketidakselesaan penduduk tempatan. Di kawasan tersebut, sekitar 8 kilometer kiri dan kanannya semuanya kilang mesin packaging. Begitu luar biasa sekali, kerana jika kita fikirkan secara logiknya,kenapa begitu banyak sekali kilang yang membuat mesin yang sama,dengan siapa mereka hendak berurus niaga di kawasan pedalaman sebegitu. Rupa-rupanya setelah saya melawat beberapa kilang berhampiran, saya dapati ada beberapa pelanggan dari luar negara diantaranya Arab dan Eropah juga membuat lawatan mesin.

Ini menunjukkan bahawa pengusaha-pengusaha china telah bersedia menyambut kedatangan para pembeli dari seluruh pelusuk negara dengan menubuhkan kilangnya terlebih dahulu.
Soal bagaimana hendak mendapatkan pembeli, mereka sedikitpun tidak gusar kerana kata mereka ia melihat sejauh manakah servis yang kita berikan.Pada hari ini, yang di nilai bukanlah betapa besarnya kilang atau syarikat tersebut tetapi sehebat manakah servis yang diberikan.Jika kilang atau syarikat tersebut dapat memberikan servis yang baik.Insya Allah. Maka dia akan jadi pilihan pembeli.Tujuan saya ke provins tersebut adalah untuk mencari `bottle filling machine` bersama En Akhir sebagai Pengurus Organik HPA dan Alhamdulillah semuanya selesai cuma selepas ini perlu ke sana lagi bagi tujuan test run ke atas machine tersebut. Harganya juga berpatutan dan jimat jika berbanding dengan harga pasaran di Malaysia.

Hari yang seterusnya, saya dan En Akhir bermalam di rumah Konsulat Malaysia di bandar Shanghai.Saya lebih mesra memanggil beliau cik yusof yang sebelumnya bertugas di bandar Guangzhou dengan jawatan yang sama sebagai assistant immigration attache.Saya mengenalinya hampir setahun. Beliau seorang yang baik dan peramah, dan sudahpun berumah tangga dan isterinya kak Fizzah turut bersamanya tinggal di Shanghai disamping 3 cahaya matanya.Sebelum ini beliau pernah bertanya kepada saya bila hendak datang Shanghai.Dan Alhamdulillah tanpa disangka saya telahpun tunaikan pertanyaannya.

Hari yang seterusnya, kami menuju ke bandar Taizhou, provins Zhejiang, yang terletak di bahagian utara juga tetapi provinsnya sebelum bandar shanghai.Tujuan kami ke bandar Taizhou ni pula adalah untuk mencari Harvester, blow moulding machine, dan rice mill. Alhamdulillah segala urusan dipermudahkan. Sedikit perkongsian, selama 2 hari saya berada di bandar Taizhou itu, servis yang diberi cukup baik. Bahkan segala perbelanjaan kami di sana dari segi hotel, makan minum dan pengangkutan ke semuanya di uruskan oleh pihak kilang yang kami lawati. Ini menunjukkan bahawa mereka begitu menghargai pelanggan, meskipun mereka umum tahu bahawa kedatangan kita hanyalah untuk membuat lawatan ke atas mesin-mesin yang mereka cipta.Mereka tetap akan memberi servis yang terbaik. Tauladan yang seperti inilah yang harus kita praktikkan di Malaysia. Mesra pelanggan disamping memberi servis yang baik.